
PETALING JAYA: Dua kanak-kanak lelaki maut selepas basikal yang ditunggang mereka dirempuh sebuah kereta dalam satu kemalangan di Kampung Sedaka Tengah di Yan, Kedah pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 9.15 pagi tadi, kedua-dua mangsa yang berusia 10 dan 11 tahun itu dilaporkan maut akibat kecederaan parah di kepala, lapor Sinar Harian.
Ketua Polis Yan Mohamad Hamizi Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Katanya, pada 9.25 pagi polis menerima makluman awal daripada orang awam mengenai kemalangan membabitkan sebuah kereta dan basikal yang ditunggang dua kanak-kanak.
Menurutnya, dua kanak-kanak itu disahkan maut di lokasi kejadian namun perkembangan kes akan dimaklumkan kemudian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.