
Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata kenyataan Ronald Kiandee menunjukkan PN Sabah sedang bersedia untuk kemungkinan kerjasama pasca pilihan raya dengan GRS, walaupun pengerusi gabungan itu, Muhyiddin Yassin, sebelum ini menolak sebarang kerjasama.
“Ia menunjukkan pendekatan yang pragmatik, bukan pendirian ideologi yang tetap.

“Ini mencerminkan sifat politik Sabah yang mudah berubah di mana pembentukan gabungan sering berlaku selepas pilihan raya disebabkan pecahan undi dan kesukaran mana-mana blok tunggal mencapai 37 kerusi untuk majoriti mudah membentuk kerajaan,” katanya kepada FMT.
Seorang lagi penganalisis UMS, Lee Kuok Tiung, percaya kenyataan ketua PN Sabah itu adalah satu bentuk isyarat politik ketika gabungan tersebut bersiap sedia menghadapi kemungkinan DUN tergantung.
Lee berkata PN sedar peluangnya untuk menang dalam PRN adalah tipis. Gabungan itu juga maklum bahawa politik Sabah lebih bergantung pada kerjasama setempat berbanding penjajaran politik persekutuan.

“Walaupun PN mendapat jumlah kerusi yang kecil, lebih baik berada dalam kerajaan daripada menjadi pembangkang.”
Bilcher bersetuju, dengan berkata PN sedang membuat langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan pengasingan jika keputusan pilihan raya tidak memberikan majoriti kepada mana-mana parti, walaupun Muhyiddin sebelum ini menuduh GRS sebagai ‘pengkhianat’.
Beliau berkata PN bertanding secara solo dalam PRN untuk menilai kekuatan sebenar mereka di Sabah setelah kehilangan kebanyakan pemimpin dan jentera parti akibat penghijrahan besar-besaran selepas PRU 2022.
“Namun, mengakui kemungkinan berlaku kerjasama pasca pilihan raya berfungsi sebagai mekanisme menjaga air muka jika PN gagal mencapai prestasi baik. Naratif ini membolehkan PN mendakwa mereka fleksibel dan bukannya tewas,” katanya.
“Kekaburan boleh menjadi taktik untuk mengelakkan hubungan terputus sepenuhnya dan mengelakkan penolakan daripada pengundi yang lebih menyukai perpaduan setempat berbanding perpecahan berpanjangan.”
Walau bagaimanapun, Bilcher berkata GRS tidak akan mendapat banyak manfaat untuk bekerjasama dengan PN.
Katanya, gabungan kerajaan negeri yang dipimpin Hajiji Noor mempunyai kelebihan sebagai penyandang serta identiti tempatan yang kuat.
Setakat ini, GRS melihat PN lebih sebagai liabiliti berbanding aset, katanya, terutamanya kerana hubungan PN dengan PAS serta naratif ‘pengkhianatan’ yang sering disebut Muhyiddin.
Bilcher berkata lebih mudah untuk GRS bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) selepas pilihan raya.
“BN masih mempunyai hubungan sejarah dan rangkaian institusi di Sabah dan penjajaran persekutuannya melalui kerajaan perpaduan memberi GRS lebih akses kepada sumber dan pengaruh dasar. PN tidak mempunyai kelebihan setara dan kekal jauh dari naratif asas GRS.”
Lee berkata faktor PAS khususnya akan menghalang GRS daripada bekerjasama dengan PN, kerana imej dan pendekatan parti itu tidak selari dengan sentimen ramai pengundi Sabah.
PN bertanding di 41 daripada 63 kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya negeri itu.
PN Sabah secara konsisten mengatakan pintu kerjasama masih terbuka walaupun Muhyiddin menolak kerjasama dengan GRS berikutan keluarnya pemimpin seperti Hajiji daripada Bersatu Sabah.
Pada Isnin, Kiandee berkata PN mungkin menilai semula keputusannya untuk tidak bekerjasama dengan GRS selepas PRN 29 Nov, dengan mengambil kira sifat politik Sabah yang sangat dinamik.