Kerajaan perlu jujur tunai hak 40% Sabah, kata pemimpin PN

Kerajaan perlu jujur tunai hak 40% Sabah, kata pemimpin PN

Saifuddin Abdullah berkata tindakan kerajaan rayu asas penghakiman bermakna ia tolak dapatan yang bawa kepada keputusan Mahkamah Tinggi berkait hak Sabah.

Saifuddin Abdullah
Saifuddin Abdullah berkata hasil 40% Sabah adalah hak Sabah.
PETALING JAYA:
Pemimpin Perikatan Nasional (PN) Saifuddin Abdullah menggesa kerajaan persekutuan supaya jujur, inklusif dan adil dalam menunaikan hak Sabah memperoleh 40% daripada hasil yang dikutip dari negeri itu.

Dalam tulisan ruangan Merentas Ruang diterbitkan di Sinar Harian, Saifuddin mendakwa kerajaan dilihat bersikap ‘flip-flop’ terhadap keputusan mahkamah yang mengesahkan hak Sabah itu.

Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata ini kerana kerajaan pada mulanya menyatakan tidak akan buat rayuan tetapi selepas itu merayu beberapa asas penghakiman.

Menurutnya, apabila kerajaan persekutuan merayu terhadap beberapa asas penghakiman berkenaan, ini bermakna ia menolak dapatan membawa kepada keputusan terbabit.

“Pada hakikatnya, rayuan kerajaan persekutuan terhadap beberapa asas penghakiman berkenaan adalah rayuan terhadap keseluruhan keputusan mahkamah tinggi tersebut, iaitu berkenaan hak 40%.

“Dengan kata-kata lain, adalah jelas bahawa kerajaan persekutuan tidak berhasrat melaksanakan hak 40% Sabah itu,” katanya sambil menegaskan ia adalah hak Sabah ketika pembentukan Malaysia.

“Kita mesti jujur dalam memberikan dan melaksanakan hak Sabah ini.”

Minggu lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan persekutuan akan menunaikan hak Sabah memperoleh 40% daripada hasil yang dikutip dari negeri itu.

Beliau juga berkata, Putrajaya tidak berniat memperdaya rakyat Sabah, sebaliknya komited menyelesaikan isu tersebut secara telus dan menyeluruh.

Namun, katanya, isu ini dipolitikkan oleh pihak pembangkang, yang menggunakannya sebagai modal kempen untuk PRN 29 Nov ini.

Bulan lepas, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengesahkan hak 40% Sabah ke atas hasil persekutuan yang diperoleh di negeri itu, seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah juga memutuskan bahawa semakan pasca-2021 yang dijalankan oleh kerajaan terhadap hak negeri itu adalah tidak sah, tidak rasional, tidak mengikut prosedur dan tidak seimbang.

Jabatan Peguam Negara berkata, rayuan perlu dibuat untuk mendapatkan penjelasan mengenai penghakiman dibuat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.