Calon DAP seru rakyat Sabah pilih kestabilan, elak tukar kerajaan

Calon DAP seru rakyat Sabah pilih kestabilan, elak tukar kerajaan

Chan Foong Hin yang akan bertanding di Tanjung Aru berkata, perubahan kepimpinan yang kerap rencat perancangan jangka panjang.

Chan Foong Hin
Chan Foong Hin (DAP) adalah antara 9 calon merebut kerusi Tanjung Aru pada PRN Sabah 29 Nov nanti. (Gambar Facebook)
PULAU GAYA:
Calon DAP di DUN Tanjung Aru Chan Foong Hin menyeru para pengundi agar mengutamakan kestabilan politik, mengingatkan bahawa pertukaran kerajaan yang berterusan sering kali menjejaskan pembangunan negeri.

Dalam wawancara eksklusif bersama FMT, Chan berkata, perubahan kepimpinan yang kerap di Sabah merencatkan perancangan jangka panjang.

“Kita bukan tiada pengalaman tukar kerajaan, sudah berkali-kali,” katanya.

“Jika dibandingkan dengan Sarawak, mereka hanya pernah ada enam ketua menteri. Kita pula pernah ada 16 orang.”

Timbalan ketua DAP Sabah itu menegaskan, beliau tidak menentang kebebasan berpolitik, namun mengingatkan pengundi agar menimbang kesan jangka panjang akibat ketidakstabilan.

Menurutnya, kestabilan amat penting jika Sabah mahu mencapai kemajuan mampan dan kesinambungan dalam agenda pembangunan.

“Bebas (untuk sesiapa sahaja) turut serta, bertanding dan berkempen. Namun pada hujung hari, saya harap para pengundi akan mendukung nilai kestabilan.

“Inilah asas yang Sabah perlukan jika kita mahu melonjak maju pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

Chan adalah antara sembilan calon yang merebut kerusi Tanjung Aru pada PRN Sabah 29 Nov nanti, berdepan saingan daripada Junz Wong (Warisan); Suhaimi Buang (Perikatan Nasional); Dennison R Indang (Upko); Hiew Choon Yu (Parti Solidariti Tanah Airku); Yee Wee Ping (Parti Impian Sabah); Loh Ee Eng (Parti Bumi Kenyalang); serta dua calon bebas Zaim Ansawi dan Ritchie Jay Cheng.

Kerusi itu kini disandang Wong, yang menang dengan majoriti 3,147 undi pada PRN 2020.

Lindungi pekerja gig

Antara isu yang akan Chan perjuangkan jika menang ialah peluasan program sosioekonomi di kawasan itu termasuk usaha menggalakkan pekerja gig, nelayan dan pekerja bebas mendaftar dengan Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Perkeso.

“Banyak pekerjaan di Tanjung Aru bukan dalam sektor formal. Perlindungan ke atas pekerja-pekerja ini sama pentingnya,” katanya.

“Kerajaan menanggung 70% kos pendaftaran skim; saya sendiri akan menampung baki 30% bagi memastikan lebih ramai ‘freelancer’ sedar tentang kepentingan skim perlindungan ini,” katanya.

SKSPS diwujudkan di bawah Akta 2017 bagi menyediakan perlindungan perubatan, faedah hilang upaya sementara atau kekal serta manfaat untuk tanggungan.

Chan berkata, usaha meningkatkan penyertaan dalam skim ini sangat penting khususnya untuk penduduk B40 dan pekerja gig seperti pemandu Grab, penghantar makanan, serta pekerja lain yang bekerja sendiri.

Beliau juga mahu menangani masalah kesesakan lalu lintas di Pantai Tanjung Aru yang berpunca daripada jalan masuk satu lorong yang memaksa semua kenderaan menggunakan jalan sama untuk keluar masuk.

Chan berkata, beliau telah mengadakan perbincangan awal dengan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu untuk mencadangkan sistem laluan sehala yang disokong pembinaan jalan lencongan baharu bagi melancarkan pergerakan kenderaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.