Mahkamah cadang saman terhadap Caprice selesai melalui pengantaraan

Mahkamah cadang saman terhadap Caprice selesai melalui pengantaraan

Mahkamah menetapkan 9 Dis untuk pengurusan kes seterusnya.

Ogos lalu jurulatih transformasi berprestasi tinggi memfailkan saman fitnah mendakwa Caprice (kanan) memuat naik hantaran palsu dan berniat jahat menggambarkannya terlibat aktiviti jenayah. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi mencadangkan saman difailkan oleh jurulatih transformasi berprestasi tinggi Syed Mohammad Murad Syed Naseem, yang lebih dikenali sebagai Murad ‘Baddestcoach’ Zaidi, terhadap pempengaruh media sosial Caprice diselesaikan melalui kaedah pengantaraan.

Peguam Megat Syazlee Mokhtarom, yang mewakili Caprice, ketika mengesahkan perkara itu berkata cadangan dibuat oleh Hakim Kan Weng Hin semasa pengurusan kes dalam kamar pada Isnin.

“Hakim mencadangkan agar kedua-dua pihak mencuba kaedah pengantaraan. Bagaimanapun, plaintif (Murad Zaidi) tidak bersetuju. Mahkamah telah menetapkan 9 Dis untuk pengurusan kes seterusnya,” katanya.

Perkara itu disahkan oleh peguam M Reza Hassan yang mewakili Murad Zaidi.

Pada 8 Nov lalu, Mahkamah Tinggi merekodkan perintah persetujuan yang menyaksikan Caprice, atau nama sebenarnya Ariz Ramli untuk segera menurunkan dan menarik balik sembilan kenyataan berunsur fitnah diterbitkan dalam akaun Instagramnya terhadap Murad Zaidi.

Perintah itu direkodkan selepas Caprice bersetuju untuk patuh dan berjanji tidak akan menerbitkannya, mengedar semula atau menyebarkan mana-mana kenyataan tersebut dalam sebarang bentuk.

Menurut draf perintah persetujuan, Caprice juga bersetuju untuk tidak membuat sebarang kenyataan atau representasi yang serupa terhadap Murad Zaidi.

Susulan itu, Murad Zaidi menarik balik permohonan injunksi interimnya terhadap Caprice tanpa kos.

Bagaimanapun, saman utama terhadap pempengaruh itu masih diteruskan.

Pada 4 Ogos lalu, Murad Zaidi memfailkan saman fitnah mendakwa Caprice memuat naik hantaran palsu dan berniat jahat yang menggambarkan beliau terlibat dalam aktiviti jenayah dan jenayah terancang.

Akibat hantaran dimuat naik itu, plaintif mendakwa reputasi dan maruahnya tercemar kerana defendan mempunyai pengaruh yang besar di Instagram dengan lebih 1.5 juta pengikut.

Murad Zaidi memohon injunksi untuk menghalang defendan, pekerja, wakil atau ejennya daripada menerbitkan, mengedar atau mengulangi sebarang hantaran berunsur fitnah terhadapnya di media sosial.

Beliau juga meminta permohonan maaf secara terbuka dalam bentuk video yang akan dimuat naik di semua platform media sosial defendan selain ganti rugi am, teruk dan teladan, kos serta relief lain difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Sementara itu, Caprice dalam pernyataan pembelaannya menegaskan kenyataan tersebut dibuat tanpa niat jahat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.