
Timbalan Setiausaha Agung GRS, Armizan Mohd Ali, berkata komitmen itu supaya lebih banyak manfaat dapat dikembalikan kepada rakyat, termasuk melalui dana pendidikan diperkukuh, antaranya peningkatan kepada biasiswa kerajaan negeri.
“Pada 2019, semasa Warisan memerintah, dana pendidikan hanya RM50 juta dan kami berjaya meningkatkannya tahun ini kepada RM136 juta, peningkatan peruntukan lebih 100%.
“Namun, peruntukan ini masih tidak mencukupi, masih ramai lagi anak-anak kita yang memerlukan, tetapi inilah yang cuba diusahakan, sasaran kita menjelang 2030, paling kurang pendapatan Sabah akan mencecah kadar RM10 bilion.”
Armizan, yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup berkata demikian selepas pelancaran jentera GRS Tanjung Batu di sini, malam tadi.
Beliau berkata, hubungan antara kerajaan persekutuan dan Sabah hendaklah sentiasa dipelihara dengan baik, selain menolak sentimen anti-Semenanjung yang dimainkan sesetengah pihak kerana ia merugikan rakyat.
“Ingat, Persekutuan itu juga sebahagian daripada kita, kerajaan persekutuan itu juga milik kita, Malaysia itu juga milik kita, yang penting sebagaimana dalam manifesto GRS, kita mahu mewujudkan GRS ini sebagai satu wadah, platform gabungan kepada parti-parti tempatan.”
Menjelang PRN Sabah ke-17, Armizan meminta pengundi di Dewan Undangan Negeri Tanjung Batu memilih calon GRS, Dr Andi Mohd Shamsureezal Mohd Sainal, yang juga anak muda dan doktor perubatan serta pengarah hospital.
“Hal ini menggambarkan citra keterbukaan yang jujur di pihak GRS untuk membawa semua segmen masyarakat bukan hanya sebagai ahli, tetapi diberikan peranan bersesuaian dengan kepakaran, mereka diberikan tempat untuk berada di barisan hadapan sebagai calon dan seterusnya menjadi Adun Sabah kelak.”
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 29 Nov ini dan undi awal pada 25 Nov.