
Azmi Hassan dari Akademi Nusantara berkata Asean melalui ‘tahun yang bergelora namun berjaya’.
Katanya, ketika Malaysia mengambil alih kepengerusian Asean, Anwar menegaskan hasrat untuk meningkatkan profil rantau itu dan menekankan kepentingannya.
“Pihak luar kini pandang Asean dengan lebih positif kerana kebijaksanaan diplomatik, sumber dan pengalaman Malaysia,” katanya kepada FMT.
Sepanjang tempoh kepengerusiannya, Malaysia menyelaras lebih 300 mesyuarat, pemudah cara rundingan gencatan senjata awal antara Thailand dan Kemboja, selain menarik semula perhatian kuasa besar seperti AS, China dan lain-lain.
Pada masa sama, Asean menerima kehadiran Presiden AS Donald Trump, yang membuat kemunculan sulung di sidang kemuncak itu selepas lapan tahun, serta beberapa pemimpin BRICS.
Walaupun Anwar mengetuai penglibatan peringkat tinggi blok itu, sebahagian besar persiapan dilakukan Menteri Luar Negeri Mohamad Hasan dan kakitangan di Wisma Putra.
Phar Kim Beng dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, beban kerja itu menyerlahkan keupayaan Malaysia untuk menyelaras, berkomunikasi dan memimpin dengan konsisten.
“Apabila melibatkan siri sidang kemuncak dan mesyuarat pegawai kanan yang berlangsung sepanjang tahun…330 semuanya, Kementerian Luar wajar dipuji atas kepakaran dan kemahiran mereka dalam pengurusan acara.
“Dengan pencapaian itu, Mohamad lulus ujian dengan cemerlang. Tiada insiden tidak diingini berlaku,” katanya.
Melangkah ke hadapan, Azmi berkata Malaysia harus memanfaatkan kejayaannya untuk menasihati Filipina, yang akan mengambil alih tugas pengerusi Asean.
“Dalam isu Myanmar, terdapat kemajuan yang ketara bawah kepengerusian Malaysia, dan wajar bagi Manila menyatakan mereka akan ikut jejak Malaysia dalam perkara ini,” katanya.
Phar pula berkata, tumpuan yang semakin meningkat terhadap Asean dan Malaysia membuka lebih banyak peluang.
“Malaysia menonjolkan imejnya sebagai kuasa perdagangan yang selamat dan bertoleransi, dan dengan ketibaan Tahun Melawat Malaysia 2026, lebih ramai pelancong dijangka ke negara ini,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata menarik kedatangan pemimpin dan pelancong perlu memberikan hasil yang nyata.
“Ini memastikan kepentingan negara dilindungi dengan lebih kukuh,” katanya.