Dewan Tertinggi BN bincang isu MIC selepas PRN Sabah

Dewan Tertinggi BN bincang isu MIC selepas PRN Sabah

Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir berkata buat masa ini tumpuan gabungan itu hanya diberikan kepada pilihan raya pada 29 Nov ini.

Zambry Abd Kadir
Zambry Abdul Kadir berkata isu parti komponen Barisan Nasional, MIC akan dibincang dalam mesyuarat Dewan Tertinggi sebaik PRN Sabah selesai.
PETALING JAYA:
Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) akan bermesyuarat bagi membincangkan isu parti komponennya, MIC sebaik selesai PRN Sabah, kata Setiausaha Agung Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata, buat masa ini tumpuan gabungan itu hanya diberikan kepada pilihan raya 29 Nov ini.

“Ya saya percaya kita (BN) akan memberi keutamaan dalam isu MIC, kita akan berikan keutamaan dan saya fikir semua parti komponen ketika ini mempunyai persefahaman (beri keutamaan kepada PRN Sabah).

“Jadi kita selesaikan dulu di Sabah dan ia difahami oleh semua parti komponen (BN) dan selepas itu kita akan bersama-sama berbincang dalam semangat Barisan Nasional,” katanya ditemui selepas menghadiri satu majlis hari ini, menurut Berita Harian.

Ahad lalu, perwakilan MIC meluluskan beberapa usul untuk pucuk pimpinan menentukan hala tuju parti termasuk cadangan keluar BN.

Susulan itu, Presiden MIC, SA Vigneswaran, menjelaskan perwakilan sebulat suara bersetuju menangguhkan keputusan muktamad menarik diri daripada BN, seterusnya menyerahkan perkara itu kepada Jawatankuasa Kerja Pusat serta presiden.

Pengerusi BN, Zahid Hamidi, sebelum itu berkata beliau terbuka menerima keputusan MIC sama ada kekal atau meninggalkan BN, selain menegaskan tidak berminat mencampuri hal ehwal dalamannya.

Menurutnya, walaupun demikian beliau sentiasa mengikuti secara dekat perkembangan komponen gabungan itu terutama perkara dibahaskan pada Perhimpunan Agung Tahunan MIC.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.