
Bersatu menerbitkan video memaparkan 18 Ahli Parlimen menyatakan sokongan kepada Muhyiddin, selepas menghadiri mesyuarat malam tadi.
Muhyiddin diapit timbalannya, Hamzah Zainudin yang juga ketua pembangkang, dan naib presiden, Radzi Jidin, yang mengetuai laungan “Kami sokong presiden.”
Para wakil rakyat mula meninggalkan kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara sekitar 11.19 malam.
Ahli Parlimen Sabak Bernam, Kalam Salan, beritahu pemberita bahawa mereka membincangkan PRN Sabah pada 29 November serta tentang mengukuhkan parti.
“Kami tak bincang pun tentang penggantian ketua pembangkang,” katanya, di sebalik penyebaran surat tular, kononnya mendesak Radzi menggantikan Hamzah sebagai ketua pembangkang di Dewan Rakyat.
Ahli Parlimen lain yang menghadiri pertemuan itu termasuklah Ketua Wanita Bersatu, Mas Ermieyati Samsudin, yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah dan Ahli Majlis Tertinggi Rosol Wahid yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu.
Ahli Parlimen lain adalah:
- Zakri Hassan (Kangar)
- Khlir Nor (Ketereh)
- Nazri Abu Hassan (Merbok)
- Fathul Huzir Ayob (Gerik)
- Nordin Ahmad Ismail (Lumut)
- Azman Nasrudin (Padang Serai)
- Suhaimi Abdullah (Langkawi)
- Azahari Hasan (Padang Rengas)
- Zakri Hassan (Kangar)
- Ku Abdul Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu)
- Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu)
- Abdul Khalib Abdullah (Rompin)
- Muslimin Yahaya (Sungai Besar)
- Islahuddin Abas (Mersing)
Ronald Kiandee (Beluran), Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota) dan Ali Biju (Saratok) tidak hadir dalam pertemuan itu.
Perjumpaan itu berlangsung hanya dua minggu selepas 19 Ahli Parlimen Bersatu menghantar surat kepada Muhyiddin bagi membantah tindakan disiplin yang dikenakan terhadap Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Wan Saiful dipecat daripada parti oleh Lembaga Disiplin Bersatu manakala Wan Fayhsal digantung. Kedua-duanya telah memfailkan rayuan.
Muhyiddin berdepan gesaan untuk berundur sebagai presiden Bersatu dan menyerahkan jawatan itu kepada Hamzah.