PH akur nama calon tarik diri kekal atas kertas undi

PH akur nama calon tarik diri kekal atas kertas undi

Terdahulu SPR dilaporkan berkata nama calon PH Abdul Halim Sidek Gulam Hassan kekal dalam kertas undi walaupun menarik diri.

Saifuddin Nasution
Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution Ismail berkata semua gerak kerja kempen di Silam juga dihentikan susulan keputusan calonnya Abdul Halim Sidek Gulam Hassan untuk menarik diri.
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan (PH) akur dengan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang mengekalkan nama Abdul Halim Sidek Gulam Hassan dalam kertas undi bagi kerusi Silam pada PRN Sabah ke-17 meskipun beliau menarik diri.

Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution Ismail berkata mengikut undang-undang selepas kertas penamaan calon dihantar, diterima dan disahkan oleh pegawai pengurus pilihan raya maka nama calon kekal.

“Jadi biarkan sahaja,” katanya menurut Sinar Harian dalam satu program di Sandakan.

Kata Saifuddin, semua gerak kerja kempen di Silam juga telah dihentikan susulan keputusan Abdul Halim untuk menarik diri.

Terdahulu, media melaporkan SPR mengesahkan nama calon PH itu kekal tersenarai dalam kertas undi meskipun Abdul Halim memutuskan untuk menarik diri selepas hari penamaan calon.

Setiausaha SPR Khairul Shahril Idrus berkata, tiada seorang calon pun dibenarkan menarik pencalonan selepas pukul 10 pagi pada hari penamaan, menurut Peraturan 9, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1981.

Semalam, Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Sabah Mustapha Sakmud mengumumkan Abdul Halim membuat keputusan sendiri tanpa sebarang tekanan pihak luar.

Mustapha juga menghormati keputusan itu selepas mengambil kira pelbagai pertimbangan, termasuk menjaga hubungan baik dan keharmonian antara parti komponen PH serta rakan kerjasama politik di negeri itu.

Abdul Halim antara 12 calon PKR bertanding pada PRN Sabah hujung bulan ini dan keputusannya menarik diri bermakna DUN Silam menyaksikan hanya tinggal lapan calon bertanding.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.