Lesen boleh ditarik jika gagal patuhi akta, Kesuma ingatkan pengusaha

Lesen boleh ditarik jika gagal patuhi akta, Kesuma ingatkan pengusaha

Kementerian Sumber Manusia boleh batal lesen CLQ dan TLQ sekiranya pengusaha gagal mematuhi kehendak Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja.

steven sim
Kerajaan komited memastikan kebajikan pekerja asing dilindungi tanpa mengabaikan ketenteraman awam serta keselamatan masyarakat, kata Menteri Steven Sim.
BUKIT MERTAJAM:
Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) tidak akan teragak-agak untuk membatalkan lesen pengoperasian Asrama Pekerja Berpusat (CLQ) dan Penginapan Pekerja secara Jangka Pendek (TLQ) sekiranya pengusaha didapati gagal mematuhi kehendak Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446).

Menterinya Steven Sim berkata tindakan itu selaras komitmen kerajaan memastikan kebajikan pekerja asing dilindungi tanpa mengabaikan ketenteraman awam serta keselamatan masyarakat setempat.

Beliau berkata demikian susulan insiden kekecohan membabitkan sekumpulan pekerja asing di sebuah penginapan TLQ beroperasi di sebuah hotel di sini, Jumaat lalu, yang menimbulkan kegusaran penduduk tempatan.

Menurutnya Akta 446 menggariskan penyediaan perumahan yang sesuai serta kemudahan asas kepada pekerja asing, namun aspek kebajikan, keselamatan dan disiplin pekerja turut perlu diberi perhatian bagi mengelakkan sebarang kesan negatif kepada masyarakat setempat.

“Konsep CLQ dan TLQ diwujudkan bagi memastikan penempatan pekerja asing dilakukan secara berpusat dan terkawal tanpa mengganggu persekitaran komuniti setempat.

“Saya telah mengadakan perbincangan bersama pengusaha TLQ terbabit dan memberi peringatan tegas agar mereka tidak mengabaikan tanggungjawab. Sekiranya berlaku pelanggaran, saya tidak teragak-agak mengarahkan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk membatalkan lesen operasi,” katanya pada sidang media.

Mengulas lanjut, Sim berkata permit pekerja asing syarikat juga boleh dibatalkan jika berlaku kegagalan pengurusan, bagi memastikan kepentingan masyarakat setempat sentiasa terpelihara.

Beliau turut memaklumkan bahawa hotel di Bukit Mertajam yang dijadikan TLQ itu memperoleh kelulusan daripada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) sehingga 2027, serta mendapat perakuan daripada JTK.

Katanya, seramai 1,113 pekerja migran mendiami TLQ itu terdiri daripada 946 warga Bangladesh, diikuti 129 warga Nepal dan 38 warga Myanmar.

Mengulas insiden kekecohan yang berlaku malam Jumaat lalu, Sim berkata ia berpunca daripada rasa tidak puas hati sekumpulan pekerja migran terhadap seorang penyelia yang dipercayai mengambil wang mereka bagi tujuan tertentu tanpa pengetahuan pihak majikan.

Terdahulu, media melaporkan seramai 46 lelaki warga asing ditahan polis selepas dipercayai terbabit dalam insiden kekecohan di pekarangan hotel berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.