GRS tawar kestabilan sebenar, elak Sabah bergolak, kata Hajiji

GRS tawar kestabilan sebenar, elak Sabah bergolak, kata Hajiji

Hajiji Noor berkata GRS menyatupadukan parti yang menstabilkan Sabah dan melaksanakan pelbagai dasar konsisten untuk rakyat.

Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor
Hajiji Noor menegaskan pentadbiran GRS meningkatkan hasil, rizab dan melancarkan projek kemudahan asas.
KOTA KINABALU:
Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menawarkan kestabilan sebenar dan hasil boleh diukur, kata Pengerusi Hajiji Noor selepas negeri itu melalui tempoh bergolak dalam sejarah politiknya terutama pasca PRU2018.

Hajiji berkata, rakyat Sabah masih mengingati bagaimana selepas 2018 negeri itu terperangkap dalam kitaran kekacauan politik menyaksikan kerajaan tumbang, ketua menteri bertukar dan Adun bertukar parti yang kemuncaknya ‘Langkah Kinabalu’.

Namun, usaha Barisan Nasional (BN) dan Warisan menjatuhkan kerajaan ditadbir Hajiji gagal apabila sebahagian wakil rakyatnya tidak menyokong langkah itu.

“Sabah ini meraikan demokrasi terlalu demokrasi. Semua pun pandai berpolitik. Parti di Sabah ini pun paling banyak di Malaysia.

“Ada yang kalau bukan pilihan rakyat, mereka tidak timbul. Sekarang dekat pilihan raya, timbullah dia,” kata Hajiji yang mengangkat sumpah sebagai ketua menteri pada September 2020 kepada FMT.

Beliau berkata, realiti itu yang mendorongnya mengambil keputusan menghimpunkan parti tempatan yang selama puluhan tahun bermusuh dan membentuk sebuah gabungan dikenali sebagai GRS.

“Kita mesti ada satu kerjasama dan perpaduan dalam kalangan parti ini. Itu sebab saya usahakan tubuh GRS untuk menyatupadukan parti-parti ini,” katanya.

Menurut Hajiji, walaupun penyatuan itu penuh cabaran dan memerlukan kompromi politik besar, hasilnya jelas apabila kerajaan negeri kekal stabil sepanjang penggal.

Katanya, buat pertama kali dalam tempoh lebih sedekad, Sabah dapat menumpukan perhatian penuh kepada pembangunan rakyat.

Hasil meningkat, rizab naik, projek asas bergerak

Hajiji berkata, kestabilan itu turut membantu kerajaan negeri mencatat peningkatan hasil dan rizab negeri secara dramatik.

“Apabila saya ambil alih kerajaan, rizab kita tidak sampai RM3 bilion, sekarang RM8 bilion lebih. Dulu hasil hanya hampir RM4 bilion setahun tetapi sekarang hampir RM7 bilion,” katanya.

Beliau berkata, keadaan fiskal yang kukuh ini membolehkan kerajaan menyelesaikan masalah asas rakyat seperti air, elektrik, jalan raya serta bantuan sosial.

Had KM 2 penggal, henti budaya mahu berkuasa tanpa batas

Pentadbiran Hajiji turut mengorak langkah dengan meluluskan cadangan mengehadkan jawatan ketua menteri kepada dua penggal — satu langkah pembaharuan jarang dicadangkan pemimpin sedang berkuasa.

“Dua penggal cukuplah. Negara yang paling kuat dalam dunia pun macam Amerika Syarikat pun dua penggal saja, apalagi Sabah. Janganlah cita-cita pegang jawatan lama-lama itu. Tidak perlulah,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan jawatan tersebut jatuh ke tangan individu yang mengejar kuasa tanpa batas sehingga merencatkan kepimpinan baharu.

Pada 2022, Hajiji dipetik berkata Kabinet Sabah secara dasar meluluskan cadangan mengehadkan tempoh jawatan ketua menteri kepada dua penggal.

Katanya, cadangan itu akan dibawa ke sidang DUN Sabah akan datang jika rakyat dan semua Adun kerajaan serta pembangkang bersetuju meminda perlembagaan negeri berkaitan perkara tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.