
Bahagian Perhubungan Awam Jabatan Penyiaran dalam satu kenyataan berkata RTM mengambil maklum beberapa pandangan berhubung kandungan siri animasi itu yang disiarkan pada jam 10 pagi semalam.
“Berdasarkan laporan penilaian kandungan dan semakan yang dilaksanakan, tiada perlakuan atau kemesraan yang menggambarkan hubungan pasangan sejenis, mahupun sebarang elemen yang menjurus ke arah itu.
“Namun, bagi memastikan tiada elemen yang boleh menimbulkan keraguan atau sensitiviti masyarakat, RTM menghentikan siaran animasi berkenaan untuk membuat penelitian lanjut keseluruhan kandungan siri itu,” kata kenyataan itu.
Katanya, RTM kekal komited untuk memastikan semua kandungan yang disiarkan mematuhi etika penyiaran dan tidak menimbulkan ketidaksenangan mana-mana pihak.
Terdahulu hari ini, Seorang Adun PAS Terengganu Nor Hamzah menggesa siri itu – sebuah siri kanak-kanak tentang sekumpulan lanun muda – dihentikan siarannya, kerana mendakwa bahawa siri tersebut mengandungi unsur LGBT dan secara tidak langsung yang boleh mempengaruhi kanak-kanak.
Beliau berkata kerajaan mesti segera campur tangan bagi menghalang apa yang dianggap PAS sebagai ‘kandungan berbahaya’ daripada sampai kepada kanak-kanak.