RTM henti siaran di platform Astro mulai 1 Julai

RTM henti siaran di platform Astro mulai 1 Julai

RTM berkata, kedua-dua pihak sukar capai persetujuan harga dan terma kontrak.

rtm logo
Saluran-saluran RTM telah bersiaran di platform satelit Astro serta platform OTT miliknya menerusi satu perjanjian selama hampir 30 tahun.
PETALING JAYA:
Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan menamatkan siarannya di platform satelit Astro bermula 1 Julai, sekali gus menoktahkan kerjasama hampir 30 tahun antara kedua-dua pihak.

Dalam satu pekeliling bertarikh 11 Mei, RTM menyatakan kedua-dua pihak sukar mencapai persetujuan harga dan terma kontrak yang memenuhi keperluan serta kemampuan kewangan masing-masing, lapor Berita Harian.

“Sehubungan itu, RTM memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan penyiaran saluran RTM iaitu TV1-HD, TV2-HD dan Okey di platform satelit Astro serta platform ‘over-the-top’ (OTT) yang dikendalikan,” katanya.

RTM berkata, kerjasamanya dengan Astro melibatkan beberapa penerbitan bersama dan memberi impak positif kepada penonton kedua-dua pihak.

“Apabila kos sewaan saluran terus meningkat dan beban kewangan RTM untuk menyewa saluran ini menjadi semakin berat, adalah lebih wajar untuk kami menamatkan perkhidmatan ini agar tidak terus dibebani kos yang sukar dikawal,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.