
Ketua Polis Kedah Adzli Abu Shah, berkata berdasarkan maklumat awal diperolehi, sindiket turut beroperasi di sempadan Bangladesh dan Myanmar.
Menurutnya, berdasarkan soal siasat terhadap mangsa terselamat, mereka mendakwa dikumpulkan di lima lokasi antara Buthidaung dan Teknaf dekat sempadan Bangladesh dan Myanmar untuk menaiki kapal diuruskan sindiket.
Beliau berkata, modus operandi digunakan sindiket itu ialah mengumpulkan sebanyak mungkin penumpang untuk dimuatkan dalam kapal dalam kapasiti maksimum sebelum belayar.
“Kapal ini berlabuh di satu terusan antara dua negara tersebut dan hanya akan berlayar selepas cukup (penumpang) dengan kapasiti maksimum iaitu dalam kes ini, lebih kurang 300 orang. Jadi pelayaran itu sebenarnya mengambil masa lebih kurang dua minggu sahaja,” katanya menurut Bernama.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Alor Setar.
Adzli berkata, mangsa turut mendakwa bayaran kepada sindiket hanya dilakukan oleh ahli keluarga selepas sampai ke negara ini.
Selain itu, beliau berkata polis turut menemukan beberapa catatan termasuk nombor telefon daripada mangsa terselamat yang disyaki berkaitan dengan ejen sindiket.
Mangsa terselamat mendakwa, terdapat lima individu dipercayai ahli sindiket mengendalikan kapal induk, sebelum mereka dipindahkan ke dua bot lebih kecil ketika sampai di perairan sempadan Malaysia-Thailand dan meneruskan pelayaran sendiri.
Insiden bot karam di perairan sempadan Malaysia-Thailand, dekat Langkawi yang dikatakan membawa lebih 70 pendatang tanpa izin setakat ini mengorbankan 29 nyawa sementara 14 lagi ditemukan selamat.
Dalam pada itu, Adzli berkata, polis sedang bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) dan Polis Asean (Aseanpol) bagi mengesan sindiket tersebut.