
Shah Alfie, 39, sebelum ini menjadi pegawai khas kepada Shahelmey termasuk di DUN terbabit dan sering menguruskan pembangunan serta kebajikan rakyat di kawasan itu.
Anak jati Tanjung Keramat itu juga diamanahkan sebagai ahli Majlis Daerah Putatan yang memberi peluang kepadanya untuk lebih dekat dengan rakyat.
Semua itu kata Shah Alfie, membantunya memahami struktur pentadbiran serta keperluan ekonomi di daerah itu untuk diaplikasikan bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Justeru itu, setiausaha Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Tanjung Keramat terbabit tidak melihat pencalonannya sebagai tekanan atau beban sebaliknya amanah dari pengundi.
“Ini bukan beban tetapi tanggungjawab dan amanah, rakyat memilih dan jentera menyokong membuatkan saya lebih bersemangat,” katanya kepada FMT sambil menggariskan tiga misi utama sebagai tawarannya pada PRN.
Beliau menamakan tiga teras tersebut sebagai, ‘Memperkasa Belia Lestari, Memantapkan Ekonomi Setempat dan Membudayakan Keusahawanan’.
Sebagai anak jati kawasan terbabit, pemegang ijazah sarjana muda perakaunan itu berkata, beliau memahami keperluan penduduk, terutamanya golongan muda yang merangkumi kira-kira 60% daripada jumlah pengundi.
“DUN Tanjung Keramat ini adalah tanah tumpah darah saya. InsyaAllah, aspirasi utama saya adalah untuk menterjemahkan tiga misi ini kepada hasil yang boleh dirasai oleh penduduk, khasnya dalam menyediakan peluang dan memantapkan kualiti hidup,” katanya.
GRS mencalonkan Shah Alfie di DUN Tanjung Keramat yang sebelum ini diwakili abangnya, Shahelmey.
Shah Alfie berdepan 10 calon lain dalam usahanya menjadi yang berhormat DUN itu.
Walaupun sebelum ini Shahelmey menyuarakan hasrat mahu mempertahankan kerusi terbabit atas tiket GRS, bekas timbalan ketua menteri itu memutuskan tidak bertanding kerana ingin terus berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Putatan.
Beliau yang keahliannya digantung Umno sehingga 2029, perlu mengosongkan kerusi Parlimen itu sekiranya dicalonkan GRS untuk mempertahankan DUN Tanjung Keramat.
Ini kerana beliau menang dua kerusi berkenaan atas tiket Barisan Nasional (BN).