Lebih 12,000 anak yatim terima manfaat SSPN bawah Belanjawan Johor

Lebih 12,000 anak yatim terima manfaat SSPN bawah Belanjawan Johor

Mereka akan menerima bantuan RM2,000 seorang melalui inisiatif Bantuan Kasih Johor.

ptptn
Melalui inisiatif Bantuan Kasih Johor, semua anak yatim terbabit akan menerima pembayaran dalam tiga fasa iaitu RM300 pada Dis depan dan Februari 2026, manakala baki RM1,400 akan dikreditkan ke akaun Simpan SSPN.
PETALING JAYA:
Seramai 12,307 anak yatim di Johor bakal menerima bantuan RM2,000 seorang melalui inisiatif Bantuan Kasih Johor (BKJ) dan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) dalam Belanjawan Johor 2026.

Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Norliza Abdul Rahim, berkata inisiatif tersebut menunjukkan keprihatinan kerajaan Johor dalam memperkukuh masa depan pendidikan anak-anak yatim, selain menggalakkan budaya menabung sejak usia muda.

“Usaha menyalurkan sebahagian bantuan BKJ melalui akaun Simpan SSPN di bawah PTPTN secara tidak langsung menyokong agenda kerajaan dalam memperkasakan amalan perancangan kewangan pendidikan di peringkat awal usia.

“Langkah ini diharap dapat mengurangkan beban kewangan pelajar yang kurang bernasib baik dan membantu mereka untuk fokus sepenuhnya kepada pembelajaran,” katanya dalam kenyataan.

Belanjawan Johor yang dibentangkan Menteri Besarnya Onn Hafiz Ghazi pada Khamis lalu memberi penekanan kepada aspek kebajikan rakyat, termasuk bantuan di bawah Teras Ketiga: Jaringan Keselamatan Sosial yang disalurkan dalam bentuk tunai serta simpanan pendidikan.

Di bawah skim tersebut, bantuan akan diagihkan dalam tiga fasa iaitu RM300 pada Dis depan dan Februari 2026, manakala baki RM1,400 akan dikreditkan ke akaun Simpan SSPN bagi simpanan pendidikan jangka masa panjang, melibatkan jumlah keseluruhan RM24.6 juta.

Dalam pada itu, Norliza menyambut baik pengumuman itu dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan serta terima kasih kepada kerajaan negeri Johor atas keprihatinan terhadap kebajikan pelajar.

“Saya menyeru kerajaan negeri dan agensi lain turut menjadikan Simpan SSPN sebagai pilihan utama bagi pemberian insentif di dalam belanjawan dan program-program utama kerajaan negeri dan agensi untuk manfaat rakyat pada hadapan sebagaimana yang dilaksanakan kerajaan negeri Johor ini,” katanya.

Simpan SSPN menawarkan pelbagai faedah kepada pendeposit termasuk pelepasan cukai sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful percuma bagi simpanan RM1,000 ke atas, Geran Sepadan sehingga RM10,000 kepada keluarga layak, kadar dividen kompetitif serta jaminan kerajaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.