
Program itu dirasmikan Pengerusi PTPTN Norliza Abdul Rahim di Politeknik Banting, Selangor.
IMRAN, program di bawah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) PTPTN sejak 2021, bertujuan mengeratkan hubungan antara agensi itu dengan institusi pendidikan dan pelajar, di samping memupuk nilai kebersamaan serta keprihatinan.
Tahun ini, program itu diperluaskan dengan skala lebih besar merangkumi lima zon dan tujuh lokasi, iaitu Zon Tengah di Politeknik Banting dan City University, Zon Utara di Politeknik Ungku Omar, Zon Timur di Politeknik Kota Bharu, Zon Selatan di Politeknik Ibrahim Sultan serta Zon Borneo di Politeknik Kota Kinabalu dan Universiti Putra Malaysia (UPM) Sarawak.
Norliza berkata IMRAN bukan sekadar menghidupkan budaya berkongsi rezeki pada Ramadan, malah mengukuhkan silaturahim antara PTPTN dan institusi pengajian tinggi, sekali gus membina persepsi positif masyarakat terhadap peranan agensi itu.
“Melalui program ini, kakitangan politeknik, majlis perwakilan pelajar, pelajar dan warga PTPTN berganding bahu menyediakan juadah berbuka puasa secara gotong-royong,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, PTPTN menyalurkan Bantuan Lestari Siswa MADANI kepada tiga pelajar kurang berkemampuan, melibatkan bantuan one-off RM500 seorang yang dikreditkan terus ke akaun bank penerima.
Selain itu, Sumbangan Kit Kasih PTPTN berupa kotak makanan turut diberikan kepada 20 kakitangan politeknik yang memerlukan bagi meringankan beban perbelanjaan sepanjang Ramadan.
Menurutnya, PTPTN akan terus menjadikan IMRAN sebagai platform kebajikan dan jaringan kerjasama dengan institusi pendidikan bagi memastikan manfaatnya dirasai secara berterusan.