Kerajaan Sarawak ambil alih bekas jalan balak, warta jadi jalan awam

Kerajaan Sarawak ambil alih bekas jalan balak, warta jadi jalan awam

Abang Johari Openg berkata, inisiatif itu penting untuk selesai masalah akses penduduk luar bandar yang kini bergantung kepada jalan yang tidak terjamin selamat.

Premier Sarawak Abang Johari Openg berkata, sebuah pasukan petugas khas telah dibentuk untuk selaras proses pengambilalihan serta pastikan laluan tersebut dinaik taraf untuk kemudahan penduduk luar bandar. (Gambar Facebook Ukas)
KUCHING:
Kerajaan Sarawak akan mengambil alih semua bekas jalan balak yang menghubungkan rumah panjang dan kampung di negeri itu untuk diwartakan sebagai jalan awam tanpa bayaran, kata Premier Abang Johari Openg.

Beliau berkata, sebuah pasukan petugas khas di bawah Timbalan Premier Douglas Uggah Embas yang juga menteri infrastruktur dan pembangunan pelabuhan negeri sudah dibentuk untuk menyelaras proses pengambilalihan serta memastikan laluan tersebut dinaik taraf untuk kemudahan penduduk luar bandar.

Inisiatif tersebut, katanya, penting bagi menyelesaikan masalah akses penduduk yang perlu bergantung kepada bekas jalan balak yang tidak terjamin keselamatan dan memerlukan kebenaran pemilik konsesi balak untuk digunakan.

“Jadi rakyat juga senang kerana ia (bekas jalan balak) akan menjadi laluan kepada jalan utama,” katanya.

“Menjelang 2030, kita mahu perkara ini selesai dan dapat digunakan rakyat,” katanya pada Majlis Pelancaran Projek Jalan Raya Miri-Marudi-Mulu-Long Panai-Long Lama (3M2L) di Marudi.

Selain itu, Abang Johari turut menyentuh pendekatan baharu kejuruteraan jalan raya dilaksanakan di negeri itu melalui Projek 3M2L yang menggunakan teknologi moden dalam kawasan mencabar.

Beliau berkata, pendekatan pembinaan jalan baharu merangkumi penggunaan jalan bertingkat yang membolehkan kerja pembinaan dilakukan di kawasan tanah lembut atau gambut tanpa menjejaskan keadaan tanah serta bentuk muka bumi.

“Kita sudah buat di utara, di Limbang serta Lawas, dan kita laksanakan juga di kawasan 3M2L,” katanya.

Abang Johari berkata, teknologi jalan bertingkat itu dilaksanakan di kawasan strategik yang memerlukan kaedah pembinaan lebih tahan dan sesuai dengan keadaan geografi setempat.

Katanya, teknologi Pemodelan Maklumat Lebuh Raya turut digunakan bagi mensimulasikan reka bentuk jalan dalam komputer sebelum pembinaan fizikal dimulakan, yang membolehkan angin, hujan dan topografi dinilai dengan lebih tepat untuk memastikan ketahanan struktur.

“Ini teknologi yang kita gunakan kerana Sarawak akan menjurus kepada negeri menggunakan teknologi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.