Kota Belud daerah terbaru terjejas banjir di Sabah

Kota Belud daerah terbaru terjejas banjir di Sabah

Jumlah mangsa di PPS dan PPK di Sabah dan Sarawak meningkat sedikit pagi ini.

pps
Seramai 338 orang masih berlindung di PPK Dewan Selagon di Beaufort, manakala di Kota Kinabalu, 158 orang ditempatkan di PPS Dewan Masjid Al-Munir, Kampung Darau. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jumlah mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) serta pusat pemindahan kekal (PPK) di Sabah dan Sarawak meningkat sedikit pagi ini, dengan Kota Belud menjadi daerah terbaru terjejas banjir di Sabah.

Di Sabah, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 513 orang berbanding 510 orang, menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah.

“Sebuah PPS dibuka (di Kota Belud) di Dewan Kampung Lentigi menempatkan 17 mangsa daripada empat keluarga,” menurut JPBN dalam kenyataan, lapor Bernama.

Seramai 338 orang daripada 120 keluarga dari lapan kampung masih berlindung di PPK Dewan Selagon di Beaufort, manakala di Kota Kinabalu, 158 orang daripada 53 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Masjid Al-Munir, Kampung Darau.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan beberapa tempat di kawasan pedalaman di Sabah mengalami ribut petir pada sebelah pagi, petang dan malam ini dengan suhu antara 22 hingga 33 darjah Celsius.

Di Sarawak, jumlah mangsa banjir di PPS SMK Bekenu, Miri meningkat kepada 166 orang daripada 53 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 47 orang daripada 18 keluarga pada 4 petang semalam.

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di Johor kekal 50 orang daripada 15 keluarga setakat 8 pagi, dan mereka ditempatkan di dua PPS di Segamat.

Pengerusi JPBN Johor Asman Shah Abd Rahman berkata, 36 mangsa daripada 11 keluarga ditempatkan di PPS Balai Raya Kampung Batu Badak dan 14 mangsa daripada empat keluarga di PPS Dewan Serbaguna Kampung Tandong.

Beliau berkata, dua sungai di negeri itu berada pada paras amaran iaitu Sungai Muar di Buloh Kasap, Segamat dengan bacaan 8.41m serta Jeti Sungai Tekam, Segamat pada 3.76m, manakala cuaca semua daerah di Johor dilaporkan cerah pagi ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.