
Kenyataan bakal calon Perikatan Nasional (PN) di Karambunai itu menyusul selepas Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah Mansor Zakaria didakwa mengeluarkan kenyataan menghina orang Sabah menjelang PRN 29 Nov ini.
Adun Kuala Ketil dari PAS itu dipetik berkata: “Orang Sabah tu kempen dia bagi roti Gardenia ja.”
Bagaimanapun beliau telah memohon maaf dan menarik balik kenyataan dibuat di sidang DUN Kedah, kelmarin selepas dikritik pelbagai pihak.
Menerusi Facebook, Aliakbar berkata orang Sabah bukan murah tetapi bermaruah yang tidak boleh dijual beli dengan apa jua suapan.
“Bukan hanya roti Gardenia hatta duit pun orang sabah tidak boleh dijual beli.
“Orang Sabah pandai buat keputuan berdasarkan akal dan pemikiran sihat,” katanya yang tidak menyebut nama individu sebagai rujukan kepada kenyataannya itu.
PAS kini dalam misi meraih kerusi pertama di Sabah dengan ada berpandangan parti terbabit mempunyai peluang di DUN Karambunai.
PRN Sabah akan bermula esok dengan penamaan calon diikuti undi awal pada 25 Nov diikuti pengundian empat hari kemudiannya.