
Dalam video tular di media sosial, Mansor yang juga Adun Kuala Ketil secara berseloroh berkata: “Orang Sabah tu kempen dia bagi roti Gardenia ja.”
Ungkapan itu mungkin merujuk kecenderungan orang Sabah dan Sarawak yang berkunjung ke Semenanjung untuk ‘memborong’ produk roti keluaran Gardenia itu.
Mansor mengungkapkan kenyataan itu ketika menjawab kritikan terhadap kerajaan Kedah berhubung isu kenaikan cukai taksiran Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).
Ucapannya itu mengundang kecaman pelbagai pihak di Sabah, termasuk Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh.
Susulan kritikan tersebut, Mansor pada sidang DUN Kedah hari ini memohon maaf dan menarik balik kenyataannya.
“Bila saya fikir balik, sebenarnya saya tidak berniat menghina rakyat Sabah. Kita berbahas tentang apa yang diceramahkan di Sabah berkaitan Kedah.
“Saya tidak mahu memanjangkan isu ini dan dengan jujur serta ikhlas memohon maaf atas ucapan saya semalam, serta menarik balik jika ia menyinggung perasaan rakyat Sabah,” katanya, dalam video dikongsi Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Sementara itu, Afnan memuji tindakan Mansor yang berani memohon maaf atas ucapannya yang dianggap menghina rakyat Sabah.
“Hanya orang berjiwa besar sahaja boleh memohon maaf atas kata-katanya.
“Jauh berbeza dengan orang lain yang selalu berbuat silap tapi tidak pernah memohon maaf. Tabik kepada YB,” katanya di Facebook.
PAS kini dalam misi meraih kerusi pertama di Sabah dengan ada berpandangan parti terbabit mempunyai peluang di DUN Karambunai.
PRN Sabah akan berlangsung 29 Nov ini.