
AGC memaklumkan, pihaknya memfailkan notis rayuan di Mahkamah Tinggi Kota KInabalu pada 13 Nov, terhadap sebahagian daripada keputusan mahkamah berkenaan, khususnya membabitkan beberapa kekhilafan dalam alasan penghakiman oleh hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.
“Alasan penghakiman berkenaan antara lain mendakwa kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri telah menyalahgunakan kuasa serta melanggar kewajiban Perlembagaan.
“Jabatan ini sekali lagi ingin menegaskan bahawa kerajaan persekutuan tidak merayu berhubung isu pemberian khas Sabah berdasarkan kadar 40% hasil dan akan terus memulakan rundingan bersama kerajaan Sabah sesegera mungkin,” katanya dalam kenyataan.
Semalam di Parlimen, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan persekutuan hanya memfailkan rayuan terhadap alasan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung isu pemberian khas 40% hasil Sabah selepas mendapati wujud beberapa kekhilafan.
Beliau berkata, berdasarkan pemahaman kerajaan persekutuan atas nasihat AGC, alasan penghakiman itu dibuat di luar bidang perundangan.
Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Okt lalu memutuskan kerajaan persekutuan bertindak secara tidak sah dan melampaui kuasa Perlembagaan apabila gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40% hasil persekutuan selama hampir lima dekad.
Mahkamah turut mengarahkan semakan dibuat dalam tempoh 90 hari, manakala persetujuan bersama antara kedua-dua kerajaan perlu dicapai dalam tempoh 180 hari dari tarikh perintah dikeluarkan berhubung tuntutan pemberian khas 40% hak Sabah bagi tempoh 1974 hingga 2021.
Perintah itu dibuat selepas mahkamah membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh Persatuan Undang-undang Sabah (SLS) terhadap kerajaan Malaysia dan kerajaan negeri Sabah berkaitan hak perlembagaan negeri itu untuk menuntut 40% daripada hasil bersih diperoleh dari Sabah.