Armizan kini wakil menteri Sabah dalam jawatankuasa teknikal MA63

Armizan kini wakil menteri Sabah dalam jawatankuasa teknikal MA63

Armizan Mohd Ali ganti Ewon Benedick yang meletak jawatan sebagai menteri minggu lalu susulan pendirian Jabatan Peguam Negara mengenai hak 40% hasil Sabah.

Armizan Mohd Ali
Armizan Mohd Ali mengambil alih peranan Ewon Benedick dalam Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Armizan Mohd Ali akan menggantikan Ewon Benedick sebagai wakil menteri persekutuan dari Sabah dalam Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963.

Menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup itu Ahli Parlimen Penampang Ewon Benedick yang meletak jawatan daripada Kabinet, minggu lalu.

“Selepas ini, Armizan akan mengambil alih peranan Ewon,” kata jurucakap kerajaan, Fahmi Fadzil pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet hari ini.

Ewon meletak jawatan sebagai menteri pembangunan usahawan dan koperasi minggu lalu selepas membangkitkan pendirian Pejabat Peguam Negara berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menyatakan kerajaan persekutuan bertindak tidak sah kerana gagal menunaikan hak Sabah terhadap 40% hasil persekutuan selama hampir lima dekad.

Pada Ogos lalu, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata 13 daripada 29 tuntutan Sabah dan Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA1963) telah diselesaikan.

16 lagi masih disemak oleh jawatankuasa teknikal yang dipengerusikannya itu.

Fadillah berkata tuntutan masih disemak melibatkan isu pendidikan, kesihatan, royalti minyak, bayaran tunai petroleum, hak terhadap mineral dan telaga minyak, Akta Laut Wilayah 2012 (Akta 750), serta hak negeri ke atas pelantar benua.

Armizan yang turut hadir pada sidang media bersama Fahmi, berkata Kabinet telah mengarahkan supaya rundingan mengenai pelaksanaan hak 40% hasil Sabah dimulakan serta-merta.

Beliau berkata rundingan akan dimulakan di peringkat perkhidmatan awam memandangkan kerajaan negeri kini berada dalam pentadbiran sementara menjelang pilihan raya negeri pada 29 Nov.

Armizan berkata Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican diberi tanggungjawab mewakili kerajaan persekutuan, manakala Setiausaha Kerajaan Sabah, Safar Untong, akan mewakili negeri itu dalam rundingan berkenaan.

Mesyuarat pertama dijangka berlangsung di Menara Kinabalu, Kota Kinabalu, Isnin ini.

“Perkembangan ini menunjukkan kesungguhan kerajaan persekutuan untuk melaksanakan perintah Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu,” katanya.

Terdahulu hari ini, Pejabat Peguam Negara (AGC) memaklumkan bahawa ia telah memfailkan notis rayuan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu terhadap sebahagian alasan penghakiman dalam keputusan mahkamah mengenai hak hasil 40% Sabah.

AGC berkata rayuan separa itu, yang difailkan semalam, hanya berkaitan beberapa “kesilapan” dalam alasan penghakiman tersebut, termasuk dakwaan bahawa kerajaan persekutuan dan negeri telah menyalahgunakan kuasa dan melanggar kewajipan perlembagaan.

Selasa lalu, AGC mengumumkan ia tidak akan merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang mengesahkan hak perlembagaan Sabah terhadap 40% hasil persekutuan yang diperoleh dari negeri itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.