
Pemberian bonus kepada lebih 14,000 penjawat awam negeri diumumkan Menteri Besar, Ahmad Samsuri Mokhtar dalam sesi penggulungan perbahasan Enakmen Perbekalan 2026 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman di sini.
“Kerajaan negeri bersetuju memberikan bonus RM500 kepada penjawat awam negeri,” katanya tanpa memperincikan bagaimana dan bila pemberian itu akan dilaksanakan.
Hari ini, DUN Terengganu sebulat suara meluluskan Belanjawan 2026 yang dibentangkan Samsuri Isnin lalu.
Belanjawan 2026 bertemakan “Memacu Potensi Melonjak Prestasi” memperuntukkan RM1.938 bilion untuk perbelanjaan mengurus, termasuk RM450 juta bagi perbelanjaan pembangunan dengan hasil dianggarkan berjumlah RM1.998 bilion.