Maimunah Sharif dilantik penasihat hartanah Petronas

Maimunah Sharif dilantik penasihat hartanah Petronas

Petronas berkata Maimunah yang menamatkan perkhidmatan sebagai datuk bandar KL esok, berpengalaman 40 tahun dalam pembangunan bandar mampan.

maimunah sharif
Petronas berkata Maimunah Sharif akan membimbing syarikat minyak nasional itu dalam merangka fasa seterusnya pertumbuhan portfolio hartanahnya terutamanya Kota Madani dan projek pembangunan lain. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Petronas melantik Maimunah Sharif yang menamatkan perkhidmatan sebagai datuk bandar Kuala Lumpur esok sebagai penasihat hartanah baharu berkuatkuasa 17 Nov ini.

Dalam peranan baharunya, Maimunah akan membimbing syarikat minyak nasional itu dalam merangka fasa seterusnya pertumbuhan portfolio hartanahnya, terutamanya melibatkan tanah Sungai Besi, Kota Madani dan projek pembangunan lain.

Petronas dalam satu kenyataan berkata, Maimunah seorang pemimpin berwibawa di peringkat global dan teknokrat bertauliah dengan pengalaman lebih 40 tahun dalam pembangunan bandar mampan.

“Petronas yakin bahawa pengalaman dan kepakaran luas Maimunah akan memberi nilai tambah yang besar kepada inisiatif pembangunan syarikat pada masa hadapan,” kata kenyataan itu.

Pengumuman pelantikan itu dibuat selepas Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar mengumumkan tempoh perkhidmatan Maimunah sebagai datuk bandar Kuala Lumpur dipendekkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.