
Plaintif, Daniel Ong dan Connie Ong, mendapati pada 2023 bahawa tanah mereka didaftarkan sebagai tanah rizab Melayu pada 2015 – tiga tahun selepas mereka membelinya – walaupun hak milik tanah mereka tidak mempunyai sebarang pengendorsan status tersebut.
Mereka memohon pengisytiharan bahawa perizaban itu tidak sah di bawah Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 6 Enakmen Rizab Melayu 1933.
Hakim Mahkamah Tinggi, Moses Susayan, hari ini mengisytiharkan bahawa tanah plaintif tidak pernah menjadi tanah rizab Melayu.
Susayan juga memutuskan bahawa hak milik berdaftar plaintif kekal sah dan tidak boleh disangkal, serta sebarang tindakan pentadbiran yang dibuat ke atas tanah selepas 2012 yang bercanggah dengan Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan adalah batal dan tidak sah.
Perkara 89 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa tanah milik bukan Melayu tidak boleh didaftarkan sebagai tanah rizab Melayu, dan sebaliknya.
Mahkamah turut mengarahkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak supaya memadam sebarang rujukan atau sekatan yang menunjukkan status rizab Melayu pada 16 lot tanah berkenaan dalam tempoh 60 hari.
Mahkamah turut menganugerahkan kos sebanyak RM10,000 kepada plaintif.
Daniel dan Connie diwakili oleh peguam Sachpreetraj Singh Sohanpal, Rajesh Nagarajan dan Nur Izyan Azimi, manakala Peguam Kanan Persekutuan Fitri Sadarudin mewakili defendan — iaitu PTG Perak, Pejabat Tanah Manjung, menteri besar Perak dan kerajaan Perak.