
Menteri Pertahanan, Khaled Nordin, ketika memaklumkan perkara itu berkata pelatih berkenaan tidak bermalam dan berulang-alik dari universiti sepanjang latihan berlangsung selain latihan dijalankan di padang terbuka bersama pelatih lain.
“Setakat ini, Angkatan Tentera (ATM) telah menyoal siasat lebih 30 individu termasuk jurulatih serta pelatih lain bagi mengenal pasti sekiranya terdapat unsur jenayah dalam kejadian yang menyebabkan kematian kadet Palapes Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu.
“Katalah jika berlaku kekasaran luar biasa, pelatih-pelatih lain tentu akan mengambil gambar dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan eksekutif menteri pertahanan di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Justeru, beliau meminta semua pihak tidak menimbulkan sebarang spekulasi berhubung kematian Syamsul dan menunggu laporan bedah siasat kedua dikeluarkan nanti.
Syamsul, 22, meninggal dunia di Hospital Kota Tinggi pada 28 Julai selepas menjalani latihan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Ulu, Semenyih, keesokannya.
Pada 19 Ogos, ibunya, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, mengemukakan permohonan menggali semula kubur bagi membolehkan bedah siasat kali kedua dijalankan serta mencadangkan supaya prosiding inkues dimulakan bagi menyiasat kematian anaknya.
Pada 30 Ogos, bedah siasat kedua terhadap jasad Syamsul dilaksanakan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan jenazah dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rinching Hulu, Semenyih kira-kira 6.09 petang hari sama.
Terdahulu, Khaled menyampaikan syarahan kepada 1,927 pelatih kadet Palapes dari 20 universiti awam di seluruh negara yang bakal dikurniakan Watikah Tauliah Pegawai Kadet Palapes pada 13 Sept ini.
Dalam syarahannya, Khaled menyebut mengenai beberapa perkara antaranya mengenai semangat kemerdekaan, cabaran masa depan industri pertahanan, peranan negara dalam menghadapi konflik antarabangsa dan sumbangan pelatih kadet Palapes dalam pertahanan negara serta masyarakat.
Hadir sama, Panglima ATM Mohd Nizam Jaafar, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Lokman Hakim Ali, Panglima Tentera Laut Zulhelmy Ithnain dan Panglima Tentera Udara Muhamad Norazlan Aris.