
Hakim Rosli Ahmad membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fadhly Mohd Zamry memaklumkan pihak pembelaan menghantar surat kepada mahkamah pada 4 Nov lalu untuk memohon penangguhan atas alasan PRN Sabah ke-17 akan berlangsung 29 Nov ini.
“Mahkamah membenarkan perbicaraan pada 27 Nov dan 3 Dis ditangguhkan, dan perbicaraan akan bersambung pada 12 hingga 14 Jan 2026,” katanya pada prosiding sebutan kes itu hari ini, yang turut dihadiri peguam Ridha Abdah Subri mewakili Bung.
Pihak pembelaan akan memanggil Zizie untuk memberi keterangan pada prosiding berikutnya.
Pada 3 Mei 2019, Bung didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Madhi Abdul Hamid menerusi Zizie, 46, di Public Bank Berhad, Cawangan Taman Melawati, antara 12.30 tengah hari hingga 5 petang pada 12 Jun 2015.
Selain itu, beliau didakwa menerima suapan RM337,500 daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad Norhaili Ahmad Mokhtar melalui akaun Public Ittikal Sequel Fund yang didaftarkan atas nama isterinya bagi tujuan sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Zizie pula berdepan tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda sama, jika sabit kesalahan.