7 pegawai agensi penguat kuasa direman berkait pemutihan pendatang

7 pegawai agensi penguat kuasa direman berkait pemutihan pendatang

Suspek empat lelaki dan tiga wanita ditahan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang menerusi Op Bleach dijalankan Bahagian Perisikan SPRM, semalam.

tahanan tangkapan sprm
Suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi untuk mendapatkan perintah reman.
PETALING JAYA:
Tujuh pegawai agensi penguat kuasa direman kerana disyaki terlibat rasuah bagi mempercepatkan proses permohonan pemutihan pendatang asing menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK).

Perintah reman selama tiga hari hingga 15 Nov dikeluarkan Majistret Izra Zulaikha Rohanuddin selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Sumber berkata, semua suspek melibatkan empat lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 30 hingga 50-an ditahan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang menerusi Op Bleach dijalankan Bahagian Perisikan SPRM, semalam.

Katanya, suspek dipercayai menerima rasuah sebagai balasan bagi mempercepat permohonan pendatang asing yang berada di negara ini sebagai pekerja asing sah menerusi program RTK.

“Op Bleach adalah operasi susulan SPRM berkait sindiket ‘counter setting’ menerusi Op Rentas dan Op Dygo dijalankan baru-baru ini,” katanya.

Katanya, susulan tangkapan itu, SPRM menyita wang tunai lebih RM116,000, 14 unit peranti telekomunikasi, barang kemas serta kepingan emas, tiga unit kereta serta dua motosikal.

Semalam, SPRM menahan 11 individu bagaimanapun empat daripadanya dilepaskan dengan jaminan.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Saiful Ezral Arifin, ketika dihubungi mengesahkan penahanan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.