Perlembagaan batal dakwaan P Pinang milik Kedah, Dewan Rakyat diberitahu

Perlembagaan batal dakwaan P Pinang milik Kedah, Dewan Rakyat diberitahu

Dua Ahli Parlimen DAP bidas gesaan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) agar kedaulatan Pulau Pinang dikaji semula.

ramkarpal singh rsn rayer
Ahli Parlimen penyokong kerajaan Ramkarpal Singh (kiri) dan RSN Rayer tegaskan bahawa kedaulatan Pulau Pinang tidak boleh dipertikai.
KUALA LUMPUR:
Kedudukan Perlembagaan Persekutuan mengatasi sebarang dakwaan sejarah bahawa Pulau Pinang milik Kedah, tegas Ahli Parlimen penyokong kerajaan di Dewan Rakyat hari ini.

Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) berkata, Perlembagaan secara jelas memperuntukkan kedaulatan semua negeri dalam Malaysia, termasuk Pulau Pinang.

“Perlembagaan turut mengiktiraf Pulau Pinang sebagai sebuah negeri yang berdaulat,” katanya membidas dakwaan seorang Ahli Parlimen pembangkang bahawa Pulau Pinang hak milik kesultanan Kedah.

Perdebatan tercetus apabila Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) mencadangkan agar sejarah Pulau Pinang dikaji semula.

Ahmad Tarmizi mendakwa, pendudukan Francis Light di pulau itu pada 1786 adalah ‘tidak sah’ kerana perjanjian yang dimeterai tidak melibatkan kerajaan British.

Jelasnya, Light ‘menduduki’ Pulau Pinang secara haram memandangkan tiada sebarang perjanjian termeterai antara kesultanan Kedah dengan pihak British.

“Pihak Kedah menyatakan bahawa Pulau Pinang hak milik kesultanan Kedah di bawah pemerintahan Sultan Abdullah Mukarram Shah. Isu ini wajar dibuka dan dikaji semula bagi menentukan kesahihannya,” katanya.

RSN Rayer (PH-Jelutong) kemudiannya menegaskan bahawa Perkara 4(1) dan 4(2) Perlembagaan menyatakan Pulau Pinang adalah salah sebuah negeri dalam Persekutuan Malaysia, justeru kedaulatannya tidak boleh dipertikaikan.

“Ia tidak boleh dituntut oleh sesiapa pun, termasuk Kedah,” kata Rayer.

Dakwaan Tarmizi itu dibuat beberapa hari selepas laporan menyebut kerajaan Kedah berada pada fasa akhir pelantikan pasukan peguam bagi memulakan tindakan mahkamah berhubung status dan hubungan negeri itu dengan Pulau Pinang.

Menteri Besar Sanusi Nor berkata, tindakan mahkamah itu adalah sebagai respons kepada titah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah pada 2023 yang mahu sejarah Kedah, khususnya persoalan Pulau Pinang ‘dipajak’, diperjelas secara telus.

Pada 2021, Kedah menuntut ‘bayaran pajakan’ sebanyak RM100 juta setahun daripada kerajaan persekutuan untuk Pulau Pinang dan Seberang Perai.

Bagaimanapun, kerajaan Pulau Pinang bertegas bahawa kesultanan Kedah telah menyerahkan wilayah-wilayah tersebut secara muktamad selepas Merdeka.

Pada November tahun lepas, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow menyifatkan dakwaan sedemikian sebagai berbaur hasutan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.