
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara membatalkan satu keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 16 Nov 2022.
Mahkamah Tinggi sebelum ini membatalkan saman SFI yang difailkan untuk mendapatkan injunksi bagi mengekalkan status quo, sementara menunggu pelupusan prosiding timbang tara secara berasingan.
Mahkamah itu berpendapat, penerima dan pengurus SFI, Grant Thornton, tidak mempunyai autoriti untuk bertindak bagi pihak syarikat berhubung perjanjian lesen pembalakan yang tidak menjadi sebahagian daripada aset yang dicagarkan.
Bagaimanapun, dalam keputusannya hari ini, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa penerima dan pengurus adalah ejen syarikat dan diberi kuasa untuk memulakan dan mempertahankan prosiding atas nama syarikat.
Dalam satu kenyataan, Pengarah Eksekutif Grant Thornton, Geoffrey Foo berkata, Mahkamah Rayuan turut mendapati pembatalan perjanjian tersebut menjejaskan aset perniagaan syarikat serta aset-aset yang dicagarkan.
Menurut beliau, panel hakim yang dianggotai oleh Azhari Kamal Ramli, Ahmad Kamal Shahid dan Ong Chee Kwan, turut mengembalikan kes itu ke Mahkamah Tinggi supaya permohonan kebenaran tersebut didengar.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan menolak permohonan yang difailkan oleh kerajaan negeri pada 15 Julai lepas untuk membatalkan rayuan tersebut.
SFI mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri selepas perjanjian lesen pembalakannya dibatalkan, susulan penutupan kilang pulpa dan kertas milik syarikat itu pada November 2016.
Grant Thornton diwakili oleh peguam AG Kalidas, Jeyan Marimuttu, S Vanugopal dan Vanessa Marimuttu, manakala kerajaan negeri diwakili oleh peguam Firoz Hussein dan Tengku Ahmad Fuad.