
Khalid memaklumkan bahawa sebanyak 79 daripada 1,022 kes rasuah yang dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dari Januari hingga September tahun ini melibatkan pegawai dan anggota polis.
Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) turut merekodkan 1,523 kertas siasatan tatatertib yang telah dibuka atas pelbagai kesalahan termasuk 47 kes melibatkan rasuah, katanya lagi.
“Sebagai agensi penguat kuasa utama negara, menjadi tanggungjawab kita memastikan integriti sebagai teras utama dalam setiap tindakan dan keputusan,” katanya, lapor Bernama, pada majlis sambutan bulan integriti di maktab polis.
Khalid menyeru semua jabatan dan formasi berganding bahu memastikan strategi pembanterasan rasuah dapat dibangunkan dengan komprehensif, tersusun dan berkesan.
“Marilah kita terus memperkukuh mekanisme pencegahan, pengawasan pematuhan dan pembudayaan nilai integriti di setiap lapisan organisasi, kita harus bersama melindungi imej pasukan daripada pengaruh negatif yang mencemarkan nama baik polis,” katanya.
Pada majlis sama, Khalid merakamkan penghargaan kepada JIPS serta jabatan terlibat atas kejayaan polis meraih Anugerah Perak dalam Anugerah Integriti, Governans dan Antirasuah (AIGA) 2025 yang diumumkan pada 22 Okt lepas.
Khalid menyampaikan sijil pengiktirafan kepada 41 pegawai dan anggota polis serta Anugerah Integriti kepada lapan pegawai polis yang menunjukkan keteguhan prinsip menolak rasuah, walaupun ditawarkan sogokan antara RM200 hingga RM250,000.
“Anda semua adalah model peranan yang perlu dicontohi, semoga pengiktirafan ini bukan sahaja menjadi penyuntik semangat kepada penerima tetapi juga sumber inspirasi kepada seluruh warga polis untuk terus meletakkan integriti dalam setiap tindakan dan keputusan,” katanya.