
Pengerusi BN Zahid Hamidi berkata keputusan untuk tidak membuat rayuan itu menunjukkan penghormatan terhadap hak rakyat Sabah dan selaras dengan prinsip federalisme.
“BN sentiasa memperjuangkan kebajikan rakyat serta memastikan semua komitmen kerajaan persekutuan kepada negeri dilaksanakan secara adil,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengumumkan kerajaan pusat tidak akan mencabar keputusan Mahkamah Tinggi yang dibuat pada 17 Oktober lalu, berhubung permohonan semakan kehakiman oleh Sabah Law Society terhadap kerajaan persekutuan.
Bagaimanapun, AGC memaklumkan pihaknya akan membuat rayuan terhadap beberapa ‘kecacatan’ dalam dapatan Hakim Celestina Stuel Galid yang menyatakan semakan selepas tahun 2021 oleh kerajaan pusat adalah tidak sah, tidak munasabah, cacat dari segi prosedur dan tidak seimbang.
Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu sebelum ini memutuskan bahawa Putrajaya bertindak salah dari segi undang-undang kerana gagal menunaikan hak Sabah untuk menerima 40% hasil yang diperoleh dari negeri itu selama hampir lima dekad.