
Warga tempatan berusia 21 tahun itu yang mempunyai lima rekod lampau berkaitan dadah dan lima rekod jenayah, dipercayai bekas pekerja sebuah syarikat telekomunikasi.
Ketua Polis Kuala Muda, Hanyan Ramlan, berkata suspek dikenali ‘Kucai’ ditahan bersama tiga rakannya berusia 21 hingga 25 tahun dalam tiga serbuan berasingan menerusi Op Lejang sejak bulan lalu.
“Selepas keluar penjara, suspek dikatakan mengajak tiga rakannya mencuri kabel dan kenderaan.
“Mereka dikatakan mempunyai kemahiran mencuri kenderaan yang hanya mengambil masa kira-kira lima minit menggunakan ‘Allen key’,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata, suspek menyasarkan Proton Wira dan akan menggunakannya untuk meronda kawasan perumahan bagi mencari sasaran sesuai.
Katanya, kumpulan itu turut membawa peralatan khas seperti ‘T- handle’ dan ‘Allen key’ diubah suai.
Menurutnya, semua suspek berasal dari Sungai Petani itu disyaki turut terbabit melakukan kegiatan jenayah di daerah Kulim, Yan, Pendang dan Seberang Perai Utara di Pulau Pinang.