2 lelaki ditahan curi kabel ECRL

2 lelaki ditahan curi kabel ECRL

Polis berkata suspek ditahan dalam serbuan di sebuah bangsal di kebun getah di kawasan Perindustrian Temerloh di Mentakab, Pahang.

Ketua Polis Temerloh Mohd Nasyim Bahron berkata kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam beberapa kes mencuri kabel projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bersama dua individu yang masih bebas. (Gambar Bernama)
KUANTAN:
Dua lelaki termasuk seorang warga Kemboja ditahan kerana dipercayai mencuri kabel projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dalam serbuan di sebuah bangsal kebun getah di Kawasan Perindustrian Temerloh, Mentakab pada 26 Sept lepas.

Ketua Polis Temerloh Mohd Nasyim Bahron berkata dalam serbuan kira-kira 7.05 malam itu, kedua-dua suspek berusia 30 dan 28 tahun cuba melarikan diri namun berjaya ditahan selepas berlaku sedikit pergelutan.

“Pemeriksaan dalam bangsal berkenaan menemukan beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk mencuri kabel, termasuk mesin pengisar (grinder),” katanya dalam kenyataan.

Nasyim berkata siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku terlibat dalam beberapa kes mencuri kabel bersama dua individu yang masih bebas dikenali ‘Musang’ dan ‘Sepet’. Katanya, kertas siasatan kes dihantar ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya Pahang pada Rabu untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Nasyim berkata hasil serbuan itu juga menemukan dadah jenis syabu seberat 5.16g di dalam poket seluar seorang daripada suspek dan kedua-dua lelaki itu turut disahkan positif dadah jenis methamphetamine.

Beliau berkata lelaki tempatan terbabit juga dituduh di Mahkamah Majistret Temerloh pada 30 Sept lepas mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala lelaki warga asing itu pula ditahan di bawah Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen sah dan direman hingga 10 Okt ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.