Projek ECRL mungkin lewat akibat kecurian kabel berterusan

Projek ECRL mungkin lewat akibat kecurian kabel berterusan

CCCECRL berkata dalam tempoh dua minggu sejumlah 1,080m kabel 'contact wire' dicuri antara Temerloh dan Lanchang manakala 599m lagi dicuri antara Lanchang dan Bentong.

Projek ECRL adalah inisiatif pengangkutan bersepadu kerajaan persekutuan menghubungkan Pelabuhan Klang, Selangor dengan terminal akhir di Kota Bharu, Kelantan, merentasi Pahang dan Terengganu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
China Communications Construction Sdn Bhd (CCCECRL) memberi amaran projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berisiko mengalami kelewatan susulan insiden kecurian kabel berterusan di sepanjang jajaran rel itu dari Temerloh ke Bentong, Pahang.

Syarikat itu dalam kenyataan mengecam tindakan mencuri kabel ‘contact wire’ – komponen penting dalam sistem rel dan menyifatkan ia ancaman serius terhadap penyampaian projek nasional berimpak tinggi tersebut.

“Dalam tempoh hanya dua minggu, sejumlah 1,080m kabel ‘contact wire’ dicuri antara Temerloh dan Lanchang, manakala 599m lagi dicuri antara Lanchang dan Bentong.

“Insiden ini bukan sahaja menyebabkan kerosakan infrastruktur utama serta peningkatan kos pembaikan, tetapi juga boleh melambatkan keseluruhan jadual projek kerana alat ganti khusus memerlukan tempoh beberapa bulan untuk diperoleh,” menurut kenyataan.

Insiden terbaru menyusuli beberapa kecurian kabel dan pencawang yang dikesan sejak Jun lalu di jajaran sama.

CCCECRL berkata, kelewatan itu akan menjejaskan matlamat jangka panjang ECRL untuk membawa manfaat sosial dan ekonomi kepada kawasan Pantai Timur dan negara secara keseluruhan.

Syarikat itu memaklumkan, laporan dibuat di Balai Polis Lanchang dan mereka sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa bagi menyiasat kes tersebut.

“Namun, memandangkan jajaran projek ini menjangkau sejauh 665km, usaha melindungi aset negara ini memerlukan kerjasama masyarakat setempat.

“Orang ramai digesa supaya tidak membeli sebarang kabel atau komponen elektrik milik ECRL yang dijual secara haram, serta segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada polis atau pejabat CCCECRL terdekat,” katanya.

Projek ECRL adalah inisiatif pengangkutan bersepadu kerajaan persekutuan menghubungkan Pelabuhan Klang di Selangor dengan terminal akhir di Kota Bharu, Kelantan, merentasi Pahang dan Terengganu.

Jajaran sepanjang 665km itu dibangunkan China Communications Construction Company Ltd (CCCC) melalui anak syarikatnya CCCECRL dan dijangka siap menjelang hujung 2026.

Projek itu disasarkan untuk menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi di Pantai Timur dengan meningkatkan jaringan logistik, memendekkan masa perjalanan antara wilayah, serta menggalakkan pemindahan kargo dari jalan raya ke sistem rel.

Apabila siap kelak, ECRL dijangka mampu membawa kira-kira 5.6 juta penumpang dan 53 juta tan kargo setahun, serta menyokong pembangunan sektor pelancongan, perindustrian dan perdagangan rentas negeri.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.