Leiking mampu bertahan tekanan kumpulan muda Warisan, kata penganalisis

Leiking mampu bertahan tekanan kumpulan muda Warisan, kata penganalisis

Pemilihan Warisan dijangka menyaksikan kemunculan pemimpin Cina selepas parti itu menyingkirkan DAP pada PRN lalu.

Darell Leiking
Darell Leiking merupakan timbalan presiden Warisan sejak parti itu ditubuhkan pada 2016. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Penganalisis politik menjangkakan bekas menteri perdagangan, Darell Leiking mampu mempertahankan jawatan timbalan presiden Warisan pada pemilihan parti akan datang, walaupun berdepan tekanan susulan prestasi buruk dalam pilihan raya lalu.

Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah berkata, tanpa jawatan legislatif menjadikan Leiking terdedah kepada cabaran pemimpin sedang meningkat yang kini memegang kerusi negeri atau persekutuan.

“Kegagalannya mempertahankan kerusi Parlimen Penampang pada PRU 2022, ditambah keputusannya tidak mempertahankan kerusi DUN Moyog tahun lalu, secara teori mengurangkan pengaruhnya sebagai ‘heavyweight’ dengan mandat langsung daripada rakyat,” katanya kepada FMT.

Leiking gagal mempertahankan jawatan Ahli Parlimen Penampang buat penggal ketiga, selepas tewas kepada Ewon Benedick dari Upko yang menang dengan majoriti 14,410 undi.

Pada PRN November lalu, beliau memilih tidak mempertahankan kerusi DUN Moyog yang dimenanginya pada 2020 dengan majoriti selesa 5,935 undi.

Keputusan itu mungkin terbukti langkah bijak kerana kerusi berkenaan dimenangi Timbalan Presiden Upko, Donald Peter Mojuntin yang menewaskan Naib Presiden Warisan, Terrence Siambun dengan majoriti 2,618 undi.

Bilcher berkata, peranan Leiking sebagai wakil utama Kadazandusun Murut dalam Warisan boleh membantunya mengekalkan sokongan dalam kalangan perwakilan.

“Kedudukannya sebagai simbol sokongan komuniti bagi Warisan mungkin menjadi penyelamat, dengan perwakilan mungkin memilih untuk mengekalkannya sebagai timbalan presiden bagi memastikan keseimbangan dalam perwakilan etnik.”

Lee Kuok Tiung juga dari UMS berkata, Leiking masih menjadi jambatan penting kepada komuniti itu, yang masih sukar dipikat Warisan melalui peti undi.

Bapa Leiking, Marcel ialah bekas Adun Inanam dan kini mengetuai Persatuan Kadazan Sabah.

Rabu lalu, Presiden Warisan, Shafie Apdal dilaporkan berkata, ia bercadang mengadakan pemilihan pada Julai atau Ogos ini. Beliau menerajui parti itu sejak penubuhannya pada 2016, dengan Leiking menjadi timbalannya sejak itu.

Lebih ramai pemimpin Cina akan muncul di Warisan

Lee menjangkakan kepimpinan Warisan akan kekal dengan “perjanjian gentleman” dicapai bagi membolehkan Shafie dan Leiking mengekalkan jawatan mereka.

Tetapi, beliau turut meramalkan lebih ramai pemimpin Cina akan muncul dalam kepimpinan Warisan, khasnya selepas parti itu meraih pencapaian besar di kawasan bandar pada PRN tahun lalu.

Katanya, selepas berjaya merampas kerusi dimenangi DAP, “mungkin ada desakan untuk mengetengahkan lebih ramai pemimpin Cina”.

Warisan merampas semua enam kerusi dimenangi DAP pada 2020, sekali gus menamatkan kehadiran DAP di Dewan Undangan Negeri Sabah. Pemimpin Cina paling senior dalam Warisan ialah Naib Presiden, Junz Wong, Adun Tanjung Aru selama tiga penggal yang pernah bersama DAP.

Bilcher menjangkakan kepimpinan Warisan terus didominasi tokoh sedia ada demi kestabilan, tetapi parti itu perlu memperkenalkan wajah baharu daripada sayap Pemuda dan Wanita untuk mengelakkan kemerosotan serta kekal berdaya saing, khasnya dengan khabar angin PRU mengejut mungkin diadakan.

“Peralihan ini penting untuk memastikan parti itu kekal relevan dalam menarik pengundi muda dan profesional.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.