
JPWPKL memaklumkan kes itu kini berada dalam siasatan pihak polis dan pihaknya akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan yang sedang dijalankan.
“JPWPKL menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga murid yang kematian kerana lemas sewaktu menyertai sebuah program luar baru-baru ini. Bantuan awal dan sokongan telah diberikan kepada keluarga,” katanya dalam kenyataan.
Menurut kenyataan jabatan itu, pasukan kaunselor serta guru bimbingan dan kaunseling telah digerakkan untuk melaksanakan intervensi sokongan psikososial kepada murid, guru serta seluruh warga sekolah terbabit.
Murid sebuah sekolah kebangsaan di Kuala Lumpur itu disahkan meninggal dunia semalam selepas dua hari mendapat rawatan setelah lemas ketika menjalani program sokongan keyakinan air di Kolam Renang Kompleks Sukan Desa Tasik, Sungai Besi, pada Rabu.
Ketua Polis Kuala Lumpur Fadil Marsus berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian menimpa murid Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) itu pada hari kejadian.