
Pemimpin SAPP paling kanan yang memasuki gelanggang ialah dua timbalan presiden, iaitu Edward Dagul dan Japiril Suhaimi.
Setiausaha Agung Richard Yong berkata majlis tertinggi SAPP sebulat suara meluluskan enam calon berkenaan dalam mesyuarat hari ini, lapor Bernama.
Tiga nama akan membuat penampilan pertama sebagai calon iaitu Yong Yit Jee, Henley Liew, dan Yvonne Yong.
Yit Jee dan Yvonne adalah anak kepada Teck Lee, dan masing-masing mengetuai sayap Pemuda dan Wanita.
Berikut senarai penuh calon:
- Yong Yit Jee – Likas
- Gee Tien Siong – Luyang
- Edward Dagul – Limbahau
- Japiril Suhaimi – Kundasang
- Henley Liew – Tanjong Papat
- Yvonne Yong – Segama
Teck Lee, yang berkhidmat sebagai ketua menteri dari 1996 hingga 1998, merupakan Adun dilantik dalam DUN Sabah ke-16, yang dibubarkan pada 6 Okt untuk memberi laluan kepada pilihan raya.
Beliau mewakili rakyat Likas dari 1985 hingga 2013, dan kemudian beliau tewas kepada DAP. Sejak itu, DAP mempertahankan kerusi tersebut.
Beliau tidak mengambil bahagian dalam pilihan raya sejak kekalahan pada 2013, namun kekal sebagai presiden SAPP.
Bulan lalu, Teck Lee membawa SAPP keluar dari Gabungan Rakyat Sabah, bersama Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) pimpinan Jeffrey Kitingan.
Rakyat Sabah akan keluar mengundi pada 29 Nov. Penamaan calon akan diadakan pada 15 Nov.