
Pengarah A2 Wax Sdn Bhd Nor Atiqah Mohamad Alwi mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Muhd Zul Zakiqudin Zulkifli pada 27 Okt lalu.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan wang syarikat untuk meluluskan pembayaran kepada suaminya, Muhamad Fakrullah Abd Rahim, tanpa kebenaran mesyuarat agung syarikat antara 2021 hingga 2022.
Atiqah turut didakwa gagal mengisytiharkan kepentingan dirinya dalam satu kontrak syarikat yang melantik suaminya sebagai kontraktor pekerja bebas.
Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 218(1)(a) dan Seksyen 221(1) Akta Syarikat 2016.
Hakim Muhd Zul Zakiqudin Zulkifli menetapkan 27 Nov ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan dokumen pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Tengku Nor Zurairah Tengku Abdul Aziz manakala tertuduh diwakili peguam Hazman Harun.
SSM dalam kenyataan berkata tindakan perundangan itu diambil sebagai peringatan kepada komuniti korporat dan orang awam untuk tidak melanggar undang-undang.
“Usaha ini bagi memastikan tadbir urus korporat serta pematuhan undang-undang syarikat sentiasa diamalkan oleh warga korporat dan komuniti perniagaan di Malaysia,” katanya.