
Tertuduh, Thomas Chan Cheng Soon, didakwa memalsukan tandatangan dalam surat peletakan jawatan serta Borang Pemindahan Saham untuk urusan pindah milik saham.
Pengarah Wagyu House Malaysia Sdn Bhd itu juga didakwa mengarahkan setiausaha syarikat menyediakan dan menyerahkan maklumat palsu berhubung perubahan pengarah serta pemindahan saham kepada pihak berkuasa.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 591(2)(a) Akta Syarikat 2016, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun atau denda maksimum RM3 juta, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Hakim Siti Shakirah Mohtarudin membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dan menetapkan 28 Okt ini untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen oleh pihak pendakwaan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Nurul Nabila Azmi manakala tertuduh diwakili peguam Wong Joon Wye.
Dalam kenyataan, SSM mengingatkan tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang memberikan maklumat atau laporan palsu kepada suruhanjaya itu.
Menurut SSM, pihaknya kekal komited memastikan pematuhan terhadap undang-undang korporat serta menggalakkan komuniti perniagaan mengamalkan etika dan integriti dalam urusan mereka.