Kerajaan rujuk AGC sebelum meterai perjanjian AS, kata PM

Kerajaan rujuk AGC sebelum meterai perjanjian AS, kata PM

Anwar Ibrahim berkata pandangan Jabatan Peguam Negara diminta untuk mengelakkan ART bertentangan semangat Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang.

Anwar Trump ASEAN
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden AS Donald Trump menandatangani perjanjian perdagangan itu pada Sidang Kemuncak Asean ke-47 bulan lalu. (Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan telah merujuk Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mendapatkan pandangan berhubung perjanjian perdagangan timbal balik dengan Amerika Syarikat (ART) bagi memastikannya mematuhi Perlembagaan, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata pandangan AGC diminta bagi memastikan perjanjian itu tidak mengandungi sebarang peruntukan bertentangan dengan semangat Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang dalam negara.

“AGC telah mengeluarkan kenyataan baru-baru ini selepas meneliti perjanjian itu secara terperinci. Jadi jangan kata kenyataan itu bermotifkan politik,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) yang bertanya sama ada kerajaan akan membentangkan pandangan AGC mengenai perjanjian itu kepada Jemaah Menteri.

Anwar turut memaklumkan bahawa kabinet telah membuat semakan semula beberapa keputusan berdasarkan pandangan yang diberikan oleh AGC.

Kenyataan itu hadir sehari selepas AGC memberi jaminan bahawa kedaulatan dan kepentingan negara kekal dilindungi dalam perjanjian tersebut.

AGC sebelum ini berkata perjanjian itu membolehkan Malaysia dan AS mengadakan rundingan secara berhemah mengenai isu pelaksanaan perjanjian, sebelum mana-mana pihak mengambil tindakan terhadap pihak satu lagi.

Kerajaan Malaysia, katanya, juga mempunyai hak untuk menamatkan perjanjian itu pada bila-bila masa hanya dengan pemberitahuan bertulis kepada AS tanpa perlu mendapatkan persetujuan negara itu.

Perkara ini, tambahnya, memastikan kedaulatan Malaysia terus terpelihara dan kepentingan negara dilindungi.

Kenyataan Liew selari maksud sebenar

Anwar turut mempertahankan kenyataan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong, yang semalam berkata Malaysia ‘tiada pilihan’ selain berunding dengan AS mengenai perjanjian itu.

Anwar menjelaskan kenyataan Liew merujuk kepada hakikat bahawa Malaysia dan AS tidak berada pada kedudukan yang sama dari segi kekuatan ekonomi.

Beliau turut memaklumkan beliau sendiri pernah menyatakan rasa tidak puas hati kepada Presiden AS Donald Trump dalam satu pertemuan dua hala, berkaitan tarif timbal balik 19% yang dikenakan ke atas barangan Malaysia, yang menurutnya sepatutnya dikurangkan.

Anwar berkata mungkin kenyataan Liew tidak diungkapkan dengan tepat, namun maksudnya adalah betul berdasarkan konteks ketika itu.

“Kalau tanya saya, kita memang patut kata ‘berunding’. Tetapi timbalan menteri itu guna perkataan ‘terpaksa berunding’. Tidak mengapa, saya akan minta dia perhalusi sedikit kenyataan itu.”

Anwar yang juga menteri kewangan turut menolak dakwaan pihak tertentu bahawa Malaysia telah menyerahkan kedaulatannya dan menjadi ‘boneka’ AS melalui perjanjian itu.

Katanya, Malaysia sentiasa mengamalkan pendekatan “timbal balik” dalam semua perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan mana-mana negara.

“Kalau begitu (kononnya jadi boneka AS), kita tentu tidak akan menandatangani FTA ASEAN Plus China yang dinaik taraf pada 28 Okt lalu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.