‘Usah pening, rundingan BN-PH hanya 2 kerusi’, Akmal beritahu Shamsul

‘Usah pening, rundingan BN-PH hanya 2 kerusi’, Akmal beritahu Shamsul

Kerusi terbabit adalah Bemban dan Sungai Udang yang ketika ini disandang Perikatan Nasional (PN).

General BN and PH flags
Ketua PKR Melaka Shamsul Iskandar Akin meminta PH dan BN negeri itu memulakan rundingan strategi pilihan raya sebaik sahaja PRN Sabah selesai.
PETALING JAYA:
Hanya dua kerusi DUN boleh dirunding sekiranya Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bekerjasama dalam PRN Melaka, kata Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh.

Dua kerusi itu ialah Bemban dan Sungai Udang yang ketika ini disandang Perikatan Nasional (PN).

Bercakap kepada FMT, Adun Merlimau yang juga exco Melaka itu berkata cadangan berkenaan bersandarkan formula bahawa parti penyandang wajar mempertahankan kerusi dimenanginya pada pilihan raya lalu.

“Tak perlu pening kepala, kerusi yang BN menang kekal… hanya dua kerusi saja boleh bincang.

“Kalau tak setuju, kita lawan. PRN Melaka dulu pun tiga penjuru, walaupun ketika itu kerajaan pusat (BN dan PN) bersama pada 2021,” katanya sambil menegaskan fokus utama ketika ini sepatutnya mengenai usaha membantu rakyat.

“Bukan sibuk nak bahagikan kerusi. Biar rakyat tentukan siapa yang mereka mahu.”

akmal saleh
Dr Akmal Saleh.

Akmal mengulas gesaan Ketua PKR Melaka Shamsul Iskandar Akin yang meminta PH dan BN negeri itu memulakan rundingan strategi pilihan raya sebaik sahaja PRN Sabah selesai.

FMT melaporkan Shamsul berkata, rundingan pembahagian kerusi tidak wajar dilengahkan memandangkan DUN Melaka akan terbubar secara automatik pada 26 Dis 2026.

DUN Melaka mempunyai 28 kerusi. Dalam PRN 2021, BN memenangi 21 kerusi, PH (5) dan PN (2). Seorang Adun Umno kemudian menyertai PAS sebelum undang-undang anti-lompat kuasa negeri berkuat kuasa.

Menurut Akmal, jika berlaku pertembungan antara BN dan PH, parti yang menang berhak menentukan pembentukan kerajaan termasuk pelantikan ketua menteri.

“Kalau PH menang majoriti kerusi, mereka layak menjadi ketua menteri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.