Tun Faisal dakwa Wan Saiful dapat pelbagai keistimewaan dari Muhyiddin

Tun Faisal dakwa Wan Saiful dapat pelbagai keistimewaan dari Muhyiddin

Ketua Penerangan Bersatu itu dakwa Muhyiddin Yassin 'berjuang' untuk Wan Saiful Wan Jan tanding di Tasek Gelugor walaupun beliau ketua Bersatu Bangi.

Tun Faisal Ismail Aziz Wan Saiful Wan Jan
Tun Faisal Ismail Aziz dakwa Wan Saiful Wan dapat pelbagai keistimewaan daripada Muhyiddin Yassin.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Bersatu mendakwa Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan mendapat pelbagai keistimewaan daripada Presiden Muhyiddin Yassin.

Bercakap pada program audio siar The Tiger Show, Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz menafikan dakwaan Wan Saiful yang Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali anak emas presiden parti yang mendapat segala keistimewaan.

“Pasal anak emas ini (dakwa Azmin), tapi yang dapat macam-macam Wan Saiful dan WAF (Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal).

“Dapat Jana Wibawa Wan Saiful,” katanya berseloroh dalam audio siar itu.

Tun Faisal turut mendakwa Muhyiddin berjuang mencalonkan Wan Saiful di Tasek Gelugor bagi mewakili Perikatan Nasional (PN) pada PRU15 sedangkan beliau ketua Bersatu Bangi.

“Itu pun masih kata Azmin anak emas,” katanya.

Tun Faisal turut mendakwa Wan Fayhsal menikmati pelbagai keistimewaan menerusi lantikan sebagai timbalan menteri ketika Muhyiddin menerajui Putrajaya.

Wan Saiful yang dipecat Bersatu pada 14 Okt sedang dibicarakan atas dua pertuduhan rasuah kerana didakwa menerima suapan hampir RM7 juta selain meminta satu jumlah tidak dinyatakan untuk projek jalan raya bernilai RM232 juta dikaitkan dengan program Jana Wibawa.

Beliau didakwa menerima RM6.9 juta melalui akaun CIMB Bank milik syarikatnya, WSA Advisory Group Sdn Bhd, daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis Sdn Bhd (Nepturis).

Wan Saiful juga didakwa meminta jumlah tidak dinyatakan daripada Lian Tan Chuan di Royal Lake Club, Kuala Lumpur pada April 2022 untuk membantu syarikat itu mendapatkan projek Central Spine Road bernilai RM232 juta daripada kerajaan persekutuan.

Program Jana Wibawa antara inisiatif rangsangan Covid-19 untuk membantu kontraktor Bumiputera ketika Muhyiddin menjadi perdana menteri.

Ahli Parlimen Pagoh itu turut didakwa atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta berkaitan projek Jana Wibawa daripada tiga syarikat iaitu Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis dan Mamfor Sdn Bhd, serta Azman Yusoff bagi Bersatu.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Pengerusi PN itu juga berdepan tiga tuduhan menerima wang hasil daripada kegiatan haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity yang dimasukkan ke akaun Ambank dan CIMB Bank milik Bersatu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.