PM batal lawatan ke Pahang kerana sakit belakang

PM batal lawatan ke Pahang kerana sakit belakang

Pejabat Perdana Menteri berkata Anwar Ibrahim memohon maaf atas kesulitan timbul.

anwar ibrahim
Mengikut jadual, Anwar Ibrahim sepatutnya menghadiri tiga program dalam lawatan ke Pahang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim terpaksa membatalkan lawatan kerja beliau ke Pahang hari ini selepas mengalami masalah kesihatan.

Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan memaklumkan pembatalan itu dibuat pada saat akhir selepas pasukan perubatan menasihatkan beliau supaya berehat.

Menurut kenyataan itu, Anwar mengalami sakit belakang yang menyebabkan pergerakan beliau menjadi terbatas.

“Atas nasihat doktor, perdana menteri dinasihatkan mendapatkan rehat yang mencukupi,” kata kenyataan itu.

Pejabat Perdana Menteri turut menyampaikan permohonan maaf Anwar, khususnya kepada rakyat Pahang yang membuat persiapan menyambut kehadirannya.

“Beliau memohon maaf setulusnya atas kesulitan yang timbul,” menurutnya.

Mengikut jadual, Anwar sepatutnya merasmikan Penutupan Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HKKP) 2025 di Lurah Semantan, Temerloh.

Seterusnya ke program Temu Anwar @ UMPSA di kampus Gambang Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah dan sesi ramah mesra bersama penggerak industri Kuantan.

Program itu sepatutnya di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) di Jabatan Tenaga Manusia (JTM), Kuantan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.