Nga mohon maaf kepada media

Nga mohon maaf kepada media

Menteri Nga Kor Ming berkata beliau sentiasa menghormati kebebasan media dan bersuara.

Nga Kor Ming dikritik pelbagai pihak termasuk Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM) susulan insiden semasa sidang media pra-pelancaran program pencahayaan ‘I Lite U’ di Bukit Bintang baru-baru ini.
PETALING JAYA:
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming memohon maaf di atas insiden semasa sidang media pra-pelancaran program pencahayaan ‘I Lite U’ di Bukit Bintang baru-baru ini, yang mencetuskan kritikan terhadap cara beliau berinteraksi dengan wartawan.

Nga berkata beliau menerima teguran dibuat terhadap dirinya dengan hati terbuka.

“Sekiranya ada rakan-rakan media terkilan dengan kata-kata itu, saya tarik balik dan mohon maaf.

“Orang yang kenali saya sepanjang 30 tahun, saya sentiasa menghormati kebebasan media dan bersuara,” katanya dalam sidang medianya di Ipoh yang disiarkan di Facebooknya.

Dalam kenyataan pagi tadi, Nga berkata beliau sedar insiden berkenaan telah menimbulkan salah faham, selepas satu klip video tular menunjukkan beliau memberi arahan kepada seorang wartawan dalam nada yang dianggap kasar oleh sesetengah pihak.

Beliau juga menyatakan kesediaan bertemu dengan media terbabit supaya perkara isu itu dapat diselesaikan dengan baik dan teratur.

Pada prapelancaran projek ‘I Lite U’, seorang wartawan dari Utusan Malaysia bertanya mengapa tema projek itu menggunakan bahasa Inggeris.

Nga menjelaskan ia adalah acara pelancongan, penggunaan bahasa Inggeris lebih sesuai bagi menarik pelancong antarabangsa.

Namun, Nga kemudian memberitahu wartawan Utusan Malaysia itu yang beliau akan menghubungi ketua pengarang akhbar itu berhubung soalan diajukan.

Tindakannya itu menimbulkan kritikan daripada pelbagai pihak termasuk Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJM).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.