Saya diasak soalan mengenai Hamzah, kata Wan Saiful

Saya diasak soalan mengenai Hamzah, kata Wan Saiful

Bekas pemimpin Bersatu yang dipecat sokong dakwaan bahawa Hamzah Zainudin sasaran sebenar apabila beberapa pemimpin parti disingkirkan.

wan saiful wan jan
Wan Saiful Wan Jan berkata, dalam prosiding lembaga disiplin, beliau ditanya ‘bertubi-tubi’ sama ada beliau bertindak atas suruhan Hamzah Zainudin.
PETALING JAYA:
Bekas pemimpin Bersatu Wan Saiful Wan Jan menyokong dakwaan bahawa Lembaga Disiplin parti itu sebenarnya menyasarkan Timbalan Presiden Hamzah Zainudin, dalam siri penyingkiran beberapa pemimpin parti.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu mendedahkan, beliau disoal ‘bertubi-tubi’ mengenai Hamzah semasa prosiding Lembaga Disiplin pada 8 Okt, lantas mempersoalkan rasional di sebalik soalan tersebut ‘jika Hamzah bukan sasarannya’.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang digantung keahlian, mendakwa tindakan disiplin dikenakan terhadap beberapa pemimpin parti disebabkan kaitan mereka dengan Hamzah.

Wan Saiful, yang dipecat daripada parti awal bulan ini, memperincikan semula apa yang berlaku semasa beliau menghadap Lembaga Disiplin pada 8 Okt.

“Dalam sesi saya, Pengerusi Mohd Radzi Manan berulang kali bertanyakan sama ada saya bertindak atas arahan Hamzah atau sama ada beliau ‘master’ di sebalik apa yang saya lakukan.

“Jika Hamzah bukan sasaran, kenapa soalan sebegini ditanya bertubi-tubi?” soalnya dalam kenyataan.

Beliau berkata, dakwaan Wan Fayhsal itu ‘berdasarkan pengalaman sebenar yang beliau dan saya telah lalui’.

Terdahulu, Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz mengecam kenyataan Wan Ahmad Fayhsal yang mendakwa lembaga disiplin parti menyasarkan Hamzah.

Beliau menyifatkan dakwaan tersebut sebagai ‘tidak bertanggungjawab’ dan menggugat integriti proses disiplin parti.

Pada 14 Okt lepas, Bersatu mengambil tindakan terhadap Wan Saiful dan Wan Ahmad Fayhsal kerana melanggar perlembagaan serta tatakelakuan parti.

Lembaga disiplin parti turut memecat empat ketua bahagian, iaitu Azrudin Idris (Hang Tuah Jaya), Faizal Asmar (Pengerang), Fadhli Ismail (Ipoh Timur) dan Isa Saidi (Ampang).

Wan Ahmad Fayhsal mendakwa Hamzah, yang juga ketua pembangkang, merupakan sasaran sebenar di sebalik tindakan tersebut, dan menyifatkan mereka yang lain hanyalah ‘mangsa keadaan’.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.