
Perkara itu dizahirkan sewaktu pertemuan antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim, pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nvidia Jensen Huang, serta Pengarah Urusan YTL Power Yeoh Seok Hong di luar Sidang Kemuncak Pemimpin Ekonomi Apec di Gyeongju, Korea Selatan, hari ini.
Anwar berkata, perbincangan mereka turut menyentuh kemajuan pelaksanaan agenda kecerdasan buatan (AI) berdaulat negara, merangkumi penubuhan Pejabat AI Kebangsaan dan pelancaran model bahasa raya sulung negara, Ilmu.
“Usaha membangunkan AI berdaulat milik kita sendiri amat penting bagi mewujudkan ekosistem digital dipacu AI yang selamat dan diyakini,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan YTL.
“Syabas saya ucapkan kepada YTL dan Nvidia atas pencapaian penting ini. Saya amat berharap ia akan memacu agenda AI negara demi manfaat seluruh rakyat Malaysia.”
Fasiliti di Kulai yang terletak di Taman Pusat Data Hijau YTL berkuasa 600MW itu, menggunakan GPU terkini Nvidia, NVL72 Grace Blackwell (GB200), bagi menggerakkan awan AI berdaulat Malaysia dan Ilmu yang dilancarkan pada Ogos.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz yang turut serta dalam pertemuan itu berkata, kerajaan telah memperuntukkan RM5.9 bilion dalam Belanjawan 2026 bagi memperkukuh sektor AI, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai hab serantau bagi pusat data dan inovasi AI.
“Kita akan terus giat mempromosikan pelaburan strategik dalam prasarana AI, memacu misi kita untuk menerajui transformasi digital,” katanya.
Yeoh berkata, penting untuk negara membangunkan awan berdaulat (sovereign clouds) bagi menempatkan perkhidmatan AI untuk kerajaan dan rakyat.
“Dengan beroperasinya Awan AI YTL dan pelancaran Ilmu, iaitu model bahasa raya yang dibangunkan dan dimiliki oleh Malaysia, negara kita akan menjadi antara yang terawal di rantau ini untuk memanfaatkan keupayaan AI berdaulat yang tulen,” katanya.