Semakin banyak pihak sokong RUU PSB, kata Nga

Semakin banyak pihak sokong RUU PSB, kata Nga

Menteri Nga Kor Ming berkata sokongan diterima daripada pihak berkepentingan termasuk lebih 5,000 peserta Kongres Perancangan Kebangsaan (NPC).

Nga Kor Ming berkata RUU PSB telah melalui proses semakan menyeluruh melibatkan 122 sesi libat urus, selain dibentang tiga kali kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Usaha kerajaan memperhalusi Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) menerima sokongan daripada pelbagai pihak berkepentingan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Dalam penggulungan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, Nga berkata sokongan itu termasuk daripada lebih 5,000 peserta Kongres Perancangan Kebangsaan (NPC) berlangsung semalam dan hari ini.

Jelasnya, peserta kongres sepakat menyokong RUU PSB dibentangkan di Parlimen tahun ini bagi memacu pembangunan semula kawasan perumahan lama dengan lebih terancang dan inklusif.

Katanya, kementerian juga menerima resolusi daripada Umno yang mengandungi 14 syor penambahbaikan, dengan sebahagian besar cadangan telah terkandung dalam draf RUU.

“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) tetap terbuka kepada cadangan konstruktif daripada semua pihak,” katanya.

Nga turut menjelaskan penangguhan pembentangan bacaan kedua RUU PSB sebelum ini memberi ruang kepada KPKT menjalankan sesi libat urus lebih menyeluruh dan berfokus.

Menurutnya, sejak penangguhan itu, rundingan bersama telah diadakan dengan kerajaan negeri seperti Kedah dan Terengganu, Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP), Majlis Peguam, parti politik serta masyarakat awam.

“RUU PSB telah melalui proses semakan menyeluruh melibatkan 122 sesi libat urus, selain dibentang tiga kali kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi.

“Ia juga telah dibawa tiga kali ke Mesyuarat Jemaah Menteri serta mendapat kelulusan Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan,” katanya.

RUU PSB antara lain bertujuan memastikan kawasan perumahan lama yang uzur dan daif dapat dibangunkan semula secara terancang demi kesejahteraan penduduk dan pembangunan bandar mampan.

Bacaan pertama RUU itu dibuat pada Sidang Dewan Rakyat 21 Ogos lalu namun bacaan kedua serta pengundiannya ditangguhkan ke sidang Parlimen akan datang bagi membolehkan maklum balas tambahan diperhalusi.

Sehingga kini belum ada sebarang pengesahan bila RUU itu akan dibentangkan semula.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.